TULAR satu video memaparkan aksi ayah dan anak lelaki melemparkan batu ke arah rumah jiran pada sejak Rabu pagi, dipercayai ada kaitan dengan kes curi pakaian dalam.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Melalui rakaman yang dimuat naik di halaman Facebook Masmira Sweets memaparkan dua orang lelaki membaling batu dan sampah ke arah kawasan rumahnya.
Masmira turut mendakwa kedua-dua lelaki itu yang merupakan anak- beranak bertindak demikian ekoran dari rasa tidak berpuas hati pemilik rumah berkenaan membuat laporan polis berhubung tindakan anak lelaki warga emas itu mencuri pakaian dalamnya.
"Salam guys, tolong tularkan, orang kaki 'mengendap' selepas itu curi seluar dalam orang kampung, area Kampung Melayu. Bapak tak habis-habis bela anak sampai umah aku dia baling batu," tulisnya.
Wanita itu turut mendakwa lelaki tidak berbaju dalam video berkenaan mula membuat gangguan selepas bebas daripada jaminan polis.
"Bila sudah dibebaskan atas jaminan polis macam ini pula jadinya, yang menanggungnya orang seperti kami.
"Bapak tak habis-habis bela anak lagi, susahnya dapat jiran macam ini. Mentang-mentang bapak ramai kawan polis,inilah padah yang kami dapat," katanya lagi.
Pada masa sama, pemilik akaun Facebook berkenaan turut berkongsi rakaman video serta gambar yang memaparkan keadaan bumbung rumahnya dan muka lelaki yang didakwa melakukan perbuatan jelik itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan kedua-dua lelaki berkenaan.
"Anak dengan bapak sama perangai," kata AqeelAnum Love.
Seorang pengguna Facebook, Kak Liza meminta pemilik video berkenaan untuk membuat laporan polis demi keselamatan dirinya.
"SubhanALLAH, beritahu polis saja kerana kalau dibiarkan lama-lama boleh membunuh," katanya.
Difahamkan wanita itu sudah membuat laporan polis namun setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram