Bertemu skuad lokal, pesanan penyokong Harimau Kumbang buat 'Datuk Z'


  • Podium
  • Selasa, 11 Okt 2022

Zainal Abidin berdepan tugas berat dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.

TIADA apa lagi yang boleh dikejarkan Penang FC dalam saingan Liga Super pada musim ini selepas mencatatkan prestasi buruk dengan hanya dua kemenangan daripada 20 perlawanan.

Berdepan skuad lokal, Petaling Jaya (PJ) City pada Selasa hanya sekadar pelengkap jadual untuk skuad Harimau Kumbang yang kini dipimpin bekas legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan.

Kemasukan Zainal ke Penang FC bagi menggantikan Tomas Trucha yang dipecat pada Mei lalu, tidak banyak membantu skuad utara itu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Namun masih ada harapan buat Zainal menjelmakan kegembiraan buat penyokong Penang FC selepas pasukan itu mendapat 'nafas' untuk bersaing dalam Piala Malaysia menggantikan slot Melaka United yang terhimpit isu kewangan.

Mengulas tentang perlawanan bertemu PJ City, penyokong berharap Zainal dapat melakukan magis untuk menghadirkan kemenangan ketiga buat Penang FC pada musim ini.

Pertemuan sebelum ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Penang FC ketika ini menduduki tangga tercorot liga dengan 10 mata manakala PJ City meraih 20 mata.

Penang FC

Pemain Penang FC melakukan latihan sebelum berdepan PJ City pada Selasa. — Facebook Penang FC

Bagi salah seorang penyokong Penang FC, Shah Akmal, dia berharap Zainal tidak lagi memperjudikan posisi pemain semata-mata mahu memberi minit permainan kepada pemain tertentu.

"Lawan dengna skuad lokal sepenuhnya (PJ City). Kalah kena titik (kalah) juga, maknannya ada yang tidak kena dengan Penang FC.

"Pesanan buat Datuk Z (Zainal). Cukup-cukuplah perjudikan posisi pemain. Jangan sebab nak bagi minit permainan sampai boleh rosakkan permainan," tulisnya.

Kenyataanya itu dipercayai merujuk kepada taktikal Zainal yang sering menggunakan pemain sama tanpa melakukan penggiliran dan memberi peluang kepada pemain lain.

Berdasarkan pemeriksaan di Transfermarket, seramai 12 pemain Penang FC yang beraksi kurang daripada 10 perlawanan sepanjang musim ini.

Antaranya, Shafiq Afifi (penjaga gol), Abdul Latiff Suhaimi (bek tengah), Azmi Muslim (bek kiri), Syazwan Zaipol (bek tengah), Syafiq Al-Hafiz (tengah) dan Alif Romli (tengah).

Seorang lagi penyokong, Adam Hafeez berharap Penang FC akan bermain dengna sepenuh hati.

"Main demi lencana di dada anda smua. Tak perlu kata apa, janji buat yang terbaik, Haria Penang Haria," tulisnya.

Selepas menentang PJ City, Penang FC akan menentang satu lagi pasukan Lembah Klang, Selangor FC pada 15 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram