'Terbang tak berapa nak tinggi' — Penyokong Sang Kenari bidas 3 alasan Aidil Sharin


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Masa depan Aidil Sharin bersama Kedah boleh diibaratkan sebagai 'telur di hujung tanduk'. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PERTEMBUNGAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa sekali lagi membangkitkan kelemahan pasukan utara tanah air itu yang gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.

Sorakan puluhan ribu penyokong yang membanjiri Stadium Darul Aman seakan-akan tidak berjaya menyuntik semangat juang buat anak-anak buah Aidil Sharin Sahak sehingga mudah ditumpaskan 1-3.

Selain itu, layangan kad merah kepada tonggak lawan, Bergson da Silva juga tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila pasukan tuan rumah jelas dikuasai sepanjang separuh masa kedua permainan.

Keputusan itu menyebabkan KDA FC semakin sukar untuk menutup tirai musim di kedudukan lebih baik dengan kelab lain terus memberi tekanan terhadap pasukan, lebih-lebih lagi terhadap ketua jurulatih Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak.

Meskipun terdapat desas-desus yang mengatakan pengendali tersebut sewajarnya diberi peluang, masih terdapat segelintir berpendapat dia merupakan calon sesuai dalam memegang jawatan itu buat beberapa tahun lagi.

Namun, bagi seorang penyokong Hijau Kuning, Lazar Fauzanovic yang dikongsi semula menerusi laman media sosial Analisis Tangga Ayam pada Khamis, dia menyuarakan perasaan tidak puas hati akan prestasi ketua jurulatih itu sepanjang musim.

Menerusi hantaran tersebut, dia memberi jawapan di atas alasan-alasan yang pernah diberi pihak pengurusan dan kejurulatihan di atas pencapaian mengecewakan ketika ini.

1. Pengurangan kos

Dalam jendela perpindahan pada awal dan pertengahan musim, KDA FC tidak teragak-agak untuk melakukan pelaburan besar dengan membawa masuk pemain dan tonggak baharu.

Pemain seperti Al Hafiz Harun dan Denchi Marcel yang dibawa masuk dari Penang FC dan Terengganu FC difahamkan menyertai skuad Sang Kenari dengan kos yang tinggi.

Pelaburan tersebut tidak terhenti apabila bekas penyerang Al Salt SC, Ronald Ngah yang juga bergelar penjaring terbanyak liga Jordan dibawa masuk bagi menajamkan lagi jentera serangan pasukan.

310966817_520635376564484_4715011247377660938_n

Ngah Wanja difahamkan dibawa masuk dengan yuran perpindahan yang tinggi. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penyokong mula mempersoalkan apabila terdapat laporan yang mengatakan pihak pengurusan KDA FC terpaksa mengurangkan kos.

Bagi mereka, sekali pun keputusan itu adalah benar, ia bukanlah satu alasan dengan menyaksikan aktiviti semasa jendela perpindahan menelan kos yang tinggi.

"Saya akui, memang ada pengurangan kos berbanding musim lepas. Tetapi, aku tak rasa kita tidak menyediakan pasukan yang lengkap kepada Aidil Shahrin.

"Kalau pasukan betul-betul mahu kurangkan kos, kenapa setiap tahun di pertengahan musim mesti ada pertukaran pemain import?" soal penyokong tersebut.

2. Masa diberikan penyokong terlalu singkat?

Ketika ini, pelbagai khabar angin timbul mengenai masa depan pasukan dengan ramai melihat Aidil Sharin sewajarnya digantikan selepas empat tahun mengemudi Sang Kenari.

Namun, di sebalik kata-kata itu, ramai juga yang melihat pengendali kelahiran Singapura itu sebagai individu sesuai selepas berjaya meraih kejayaan termasuk muncul sebagai juara Piala FA 2019.

Mereka berasakan Aidil sewajarnya diberikan tempoh lebih lama serta sokongan padu daripada pihak atasan dengan meletakkan kepercayaan buat pengendali itu buat beberapa tahun lagi.

Tetapi, bagi Lazar, dia berasakan tempoh empat tahun yang diberikan adalah sudah cukup lama serta menyokong pendapat bahawa penggiliran pihak kejurulatihan perlu dilakukan.

"Empat tahun sudah Aidil Sharin bersama pasukan Kedah. Tak kan tak cukup lagi masa buatnya dalam pasukan? Tak kan setiap tahun kita nak menukar pemain sahaja?" katanya lagi.

Perkara itu turut disuarakan beberapa penyokong lain yang berasakan pendekatan taktikal serta keperibadian ketua jurulatih itu sudah tidak lagi sesuai.

310054349_520655419895813_5088841912564430473_n

Penyokong mula berpendapat perubahan barisan kejurulatihan perlu dilakukan secepat mungkin. Facebook/Kedah Darul Aman FC

"Aku sangat setuju, taktikal Aidil tidak pernah bertambah baik dan selalu gagal untuk menyaingi pendekatan pihak lawan. Kalau menang sekali pun, harap menerusi gol-gol nasib sahaja," kata Mohd Shahrin Abu Hassan.

"Masih nampak corak permainan yang sama sehinggakan penyokong sendiri boleh baca, apatah lagi pihak lawan. Alang-alang pengurangan kos, ambil sahaja yang lain," kata Dex Ismail.

Jadi, majoriti penyokong masih berharap perubahan ketua jurulatih wajar dilakukan dalam usaha mengubah nasib KDA FC musim depan yang pastinya lebih mencabar.

3. Menyekat bakat pemain muda

Tidak boleh dinafikan, KDA FC berjaya menghasilkan beberapa pemain kebangsaan seperti pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gawang, Ifwat Akmal pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan serta pelaburan berbaloi untuk program pembangnunan kelihatan sebagai medan dalam menyerlahkan bakat pemain tersebut.

Perkara itu masih boleh disaksikan sehingga kini apabila skuad Sang Kenari masih dilimpahi pemain muda seperti Fayadh Zulkifli yang semakin menyerlah ketika ini.

Bagaimanapun, penyokong berasakan hal tersebut mula berubah sejak pelantikan Aidil dengan mereka melihat kepercayaan ke atas pemain muda semakin terjejas.

Fayadh

Hanya Fayadh Zulkifli yang diberikan peluang dengan kerap dalam skuad Sang Kenari. Facebook/Kedah Darul Aman FC

"Namun, trend itu mula berubah sejak Aidil masuk menerajui Kedah pada 2019. Hanya Fayadh dan Fadzrul Danel pemain muda yang dapat peluang, itu pun bukan sebagai pemain tonggak.

"Tahun ini, Aidil terpaksa guna pemain muda kerana kekurangan dana, tak mewah seperti tahun sebelumnya dan menjadikan alasan dia guna pemain muda pula kali ini," kata penyokong itu.

Dalam hantaran tersebut, Lazar menolak alasan yang diberi ketua jurulatih itu yang melihat Aidil tidak serius dalam menggunakan bakat muda sehingga terpaksa menggunakan alasan pemotongan dana daripada pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram