Saat pemain dan Nafuzi bersatu, ada pula 'tangan ghaib' ganggu TFC


  • Podium
  • Rabu, 05 Okt 2022

Hubungan barisan kejurulatihan termasuk Nafuzi Zain bersama para pemain dilihat sangat serasi. — Facebook/ Terengganu FC

TEKA-TEKI mengenai status Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi sama ada bakal berhijrah ataupun kekal mengemudi skuad Penyu masih belum diputuskan oleh pihak pengurusan meskipun kontraknya bersama pasukan itu semakin menemui penghujungnya.

Difahamkan kontrak jurulatih berusia 43 tahun itu bersama skuad Penyu bakal berakhir pada 30 November ini namun sebarang lanjutan kontrak belum disahkan lagi oleh pihak Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Menerusi laporan Harimau Malaya, Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan bahawa keputusan muktamad berhubung perkara itu belum dapat dipastikan lagi kerana ingin memberi laluan kepada saki baki perlawanan.

Rentetan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan, penyokong mula mengatakan bahawa sikap sambil lewa itu hanya memakan diri dan TFC perlu bersiap sedia jika Nafuzi disambar pasukan lain,

Hal ini kerana, taktikal dan corak permainan yang diterapkan jurulatih kelahiran Kelantan itu sangat ditagih oleh beberapa pasukan dan antaranya ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC.

NAFUZI ZAIN

Nafuzi dikatakan bakal berhijrah ke skuad Hijau Kuning pada musim depan. — Facebook/ Terengganu FC

Menambah ‘api’ dalam kalangan penyokong apabila ada yang mengatakan sikap sambil lewa itu disebabkan ‘tangan ghaib’ yang cuba campur dalam hal pengurusan kelab.

Dakwaan yang dikeluarkan oleh pengguna Facebook, Piang Shankly itu juga mendakwa ketidakharmonian dalam pengurusan kelab juga antara faktor status Nafuzi dan Faisal Halim masih menjadi tanda tanya.

“Kena tunggu Februari tahun depan baru nak putuskan ke macam mana ini?. Tapi jangan risau.. "Tangan Ghaib" tengah sibuk menubuhkan pasukan untuk musim depan depan. Benda macam ini tak ganggu fokus pasukan cari slot ke Asia kan? Hehe.

“Skuad memang harmoni sebab pemain-pemain dan jurulatih-jurulatih sentiasa bersatu dalam cari kemenangan.. Tapi dalam kelab? Harmoni ke? Hmm..,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

FAISAL HALIM

Kontrak Faisal bersama Terengganu FC bakal tamat musim. — Facebook/ Terengganu FC

Dakwanya, perkara itu mengancam suasana skuad tersebut meskipun ia tidak dipamerkan di atas padang apabila pasukan itu terus beraksi dengan cemerlang.

Meskipun tidak mengetahui status 'tangan ghaib' itu, penyokong berharap agar pihak pengurusan tidak membiarkan perkara berkenaan mengganggu perancangan pasukan untuk musim depan.

Terdahulu isu ‘tangan ghaib’ diikatakan wujud dalam skuad kebangsaan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram