Makin menyerlah aksi di padang, betul ke 'fans' Terengganu FC mahu Nik Sharif kekal?


  • Podium
  • Isnin, 03 Okt 2022

Nik Sharif berjaya menjaringkan satu gol ketika Terengganu FC menumpaskan Sabah FC. — Facebook/Terengganu FC

KETIKA ini, Terengganu FC berada di prestasi terbaik dalam menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tiga teratas bagi membolehkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

Pasukan yang berada di kedudukan ketiga itu tidak mengambil mudah setiap lawan yang dihadapi dan ia dibuktikan dengan enam kemenangan berturut-turut yang dicatatkan dalam liga.

Selain pendekatan taktikal yang bersesuaian daripada ketua jurulatih, Nafuzi Zain, pemilihan pemain juga dilihat sebagai kunci buat skuad Sang Penyu untuk terus mencatatkan kejayaan.

Kehadiran pemain-pemain senior dilihat mampu menyuntik semangat menggunakan pengalaman yang dimiliki bagi membolehkan pasukan itu kekal fokus dan bersemangat sepanjang perlawanan.

Di samping itu, kehadiran wajah-wajah baharu juga dilihat sebagai penggalak buat skuad Sang Penyu apabila hubungan di antara satu sama lain tidak terjejas di atas padang.

Antara wajah-wajah baharu diturunkan Terengganu FC dalam saingan Liga Super ialah pemain sayap kiri, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang dibawa masuk secara pinjaman dari Selangor FC.

Meskipun baru sahaja menyertai pasukan Pantai Timur itu hujung Mei lalu, pemain bertubuh kecil itu tidak menunggu lama untuk mengekalkan tempatnya dalam pasukan.

sharif

Adakah Nik Sharif akan kekal bersama Terengganu FC musim depan? Facebook/Terengganu FC

Setakat ini, Nik Sharif sudah beraksi sebanyak 15 kali dalam saingan liga serta diberi peluang bermain secara simpanan ketika perlawanan akhir Piala FA.

Pemain kelahiran Pahang itu memiliki kemampuan tersendiri apabila berjaya menjaringkan dua gol selain mencipta dua lagi hantaran yang berjaya disempurnakan rakan sepasukan.

Kemampuan untuk beraksi di samping pemain sayap kanan, Faisal Halim dan penyerang import, Tchetche Kipre membolehkan Nik Sharif bermain dengan cemerlang.

Baru-baru ini juga, perkara itu dapat disaksikan apabila Nik Sharif berjaya menerima hantaran dibuat Faisal ketika bertemu Sabah FC sebelum mudah menumpaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan dan kejurulatihan bercita-cita untuk mengekalkan pemain tersebut musim depan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka layak ke pentas Asia.

Perkara itu juga disenangi segelintir penyokong apabila meskipun mereka melihat sumbangan Nik Sahrif sepanjang empat bulan tidaklah profilik seperti pemain-pemain lain.

"Terengganu FC bolehlah mendapatkan khidmat dia ini secara kekal musim depan kerana jika dia balik Selangor FC sekalipun, mungkin tidak dapat tempat di bawah Tan Cheng Hoe," kata Aril Mikael.

"Bolehlah ditawarkan kontrak secara kekal dan digilap lagi kebolehannya dan pasti dia akan dapat panggilan daripada Kim Pan-gon untuk sertai skuad kebangsaan. Rugi sekiranya dilepaskan," kata Mecca Amad Zaidie.

"Cara gelecek bola sudah memuaskan, tetapi mungkin gaya di hadapan pintu gol perlu diasah lagi. Insya-ALLAH, dia boleh jadi 'The Next' Faisal Halim," kata Hariz Manan.

Namun, di sebalik minat yang ditonjolkan, masih ada juga yang mengharapkan pihak atasan tidak meneruskan idea itu apabila mereka melihat masih ramai pemain yang boleh diturunkan di posisi tersebut.

Selain itu, penyokong juga melihat gaya permainan Nik Sharif di atas padang masih perlu diperbaiki bagi membolehkan dia kekal dalam skuad Sang Penyu.

"Jangan terlalu cepat berpuas hati kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Jauh lagi sekiranya hendak dibandingkan dengan Faisal Halim dan penyudah dia juga perlu ditajamkan lagi," kata Perabut Terengganu Berkualiti.

"Tak berani untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan dan Nik Sharif juga sedikit lewat untuk membuat reaksi dalam keadaan berbahaya, mungkin kerana gugup," kata Hishamuddin Omar.

"Nik ini sebenarnya pemain yang bagus, tetapi terlalu kerap kehilangan fokus ketika di atas padang, fikiran entah ke mana-mana. Tidak tahu apa yang difikirkan," kata Din Syaifa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram