Pernah panjat Pajero rakam 'game', Azim kejar status penganalisis prestasi bola sepak pertama Pantai Timur


Azim akan membuat analisis menerusi rakaman video mengikut filosofi permainan yang dimahukan oleh ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain. — Facebook.

RAMAI yang mungkin tidak pernah tahu tentang kerjaya penganalisis prestasi (performance analyst) dalam bidang sukan bola sepak di Malaysia.

Bagi Muhammad Azim Abdul Rahim, 29, pengalaman berkhidmat bersama barisan kejurulatihan pasukan Terengganu FC (TFC) diketuai Nafuzi Zain sejak tiga tahun lalu merupakan antara momen berharga.

Anak kelahiran Perak mesra disapa Azim itu berkata, kerjayanya dalam bidang itu bermula selepas didorong oleh seorang senior yang dikenali ketika menjalani latihan praktikal di Majlis Sukan Negeri Terengganu dan kini berkhidmat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

"Pada tahun 2017, senior saya itu ada beritahu mengenai kelab-kelab di Pantai Timur (Terengganu, Pahang dan Kelantan) tiada football analyst, jadi saya pasang niat nak isi posisi itu.

"Di sini (Pantai Timur), tidak ramai yang tahu tentang bidang ini jadi saya nak jadi yang pertama untuk menerokai bidang tersebut.

"Saya kumpul ilmu dan banyak belajar daripada senior tersebut. Nak ikutkan saya bermula dari kosong, tak tahu apa-apa tapi saya belajar sedikit demi sedikit demi mengejar cita-cita itu," katanya yang membesar di Pulau Pinang dan kini menetap di Kuala Terengganu, Terengganu.

azim2

Azim (kanan) belajar menjadi pegawai analisis bola sepak mempelajari kaedah merakam video perlawanan secara teknikal. — Facebook

Cerita Azim, dia belajar dengan merekod video perlawanan secara teknikal terlebih dahulu sebelum mempelajari cara untuk menganalisis rakaman tersebut.

"Sebab saya bermula dari kosong, saya pasang niat untuk belajar, dan dari hari ke hari tu, saya mula dapat catch-up apa yang football analyst nak.

"Selepas itu saya mula belajar untuk menganalisis video bagi ditunjukkan kepada jurulatih sebelum dia tunjukkan pula kepada pemain.

"Jadi proses-proses dalam bidang ini saya belajar secara berperingkat," katanya sambil memberitahu rakaman teknikal amat berbeza daripada rakaman siaran televisyen.

297700191_5680054482013930_6236887266454968998_n

Azim berkhidmat dengan TFC sebagai pegawai analisis perlawanan Liga Super sejak tiga tahun lepas. — Facebook

Mengulas lanjut, Azim yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang berkata, rakaman teknikal penting untuk jurulatih menganalisis pasukan kendaliannya dan juga lawan.

"Kalau ikutkan untuk skop kerja, ia dibahagikan kepada tiga iaitu praperlawanan, semasa perlawanan dan selepas perlawanan.

"Untuk sebelum game, saya akan analisis pasukan lawan kira-kira tiga hari sebelum perlawanan sebenar.

"Tapi sebelum itu, saya akan bincang dahulu dengan jurulatih apa yang menjadi fokus contohnya bahagian serangan, pertahanan, transisi, kekuatan, pemain utama dan sebagainya.

"Pada masa sama, saya akan buat analisis dalam pasukan sendiri mengikut filosofi permainan yang dimahukan oleh jurulatih.

"Penganalisis tak boleh pandai-pandai cut video, kita kena tengok cara jurulatih supaya dia dapat bentuk formasi mengikut acuan yang dikehendaki," jelasnya dalam rakaman yang dimuat naik di Facebook Manisfm.

276302762_5281985975154118_4659402855673000366_n

Kata Azim, untuk mendapatkan perspektif teknikal, rakaman video bola sepak perlu dibuat dari tempat tinggi. — Facebook

Tambahnya, dia juga bertanggungjawab untuk membuat laporan statistik perlawanan untuk melihat semula aspek seperti shot-on-target dan pelbagai perkara lain secara terperinci.

Azim juga bekerjasama rapat dengan unit strength conditioning untuk mengekstrak data penjejak prestasi sukan daripada sistem pengesanan global (GPS) yang dipakai oleh pemain semasa di atas padang.

"Ia dibuat untuk meneliti kelajuan, jarak larian dan beberapa aspek lain supaya dapat diselaraskan dengan rakaman video yang sudah dibuat," ujarnya.

Bercerita tentang pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam bidang itu, kongsi Azim, dia pernah panjat bumbung kenderaan utiliti sukan, Pajero semata-mata mahu merekod perlawanan kejohanan Piala Presiden di Ipoh, Perak.

"Kalau Liga Super, ada stadium dan tempat selesa untuk rakam video tapi beza dengan Piala Belia atau Presiden, perlawanan biasanya dibuat di padang awam dan stadium mini yang sukar saya dapatkan ketinggian yang baik untuk buat rakaman teknikal.

"Saya ingat ketika itu perlawanan seterusnya antara Terengganu dan Perak di padang Perak Chinese Recreation Centre (PCRC), Ipoh, yang mana di situ tiada tempat sesuai nak buat rakaman.

"Kebetulan waktu kena rekod game future opponent itu, saya pergi dengan Pajero. Jadi saya pakat dengan pemandu, saya naik atas bumbung kenderaan itu dan rekod perlawanan tersebut sampai gelagat saya mencuri perhatian orang ramai," katanya.

279603333_5401010039918377_5779849008095798646_n

Azim yang berasal dari Perak merupakan bapa kepada dua cahaya mata. — Facebook

Sementara itu, berbicara mengenai cabaran dalam kerjaya itu, Azim memberitahu, ilmu dan pengetahuan dalam sukan bola sepak amat penting kerana tanpanya, tugas itu sangat sukar untuk digalas.

"Cabaran sebagai football analyst adalah football knowledge. Kalau buat untuk sukan lain seperti bola jaring, bola tampar mahupun sepak takraw sekalipun, kena ada ilmu tentang sukan terbabit.

"Ini antara lain akan memudahkan kerja dalam menganalisis video dan membuat pemerolehan data. Cabaran lain pula apabila kena tengok dan baca balik sekurang-kurangnya tiga perlawanan terdahulu kerana ia bukan kerja mudah.

"Selain itu, kita kena cepat berfikir kerana dalam Liga Super, ia berbeza daripada Liga Perdana dan lain-lain liga memandangkan pace game lebih laju dan sangat demanding," katanya lagi.

azim5

Azim berpegang kepada prinsip sesuatu kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya perlu disusuli dengan usaha keras. — Facebook

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia berpegang kepada prinsip sesuatu kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya perlu disusuli dengan usaha keras.

"Macam saya, tentunya akan cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan apa yang dicita-citakan.

"Saya berharap lebih ramai anak muda dapat ceburi bidang ini, mula dengan development team sebelum naik ke performance team... apapun semua kena bermula dari bawah kerana tiada kejayaan yang datang dalam masa singkat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram