PENGENDALI baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui teruja untuk turun kembali ke kancah saingan Liga Super menjelang ujian pertamanya menentang Melaka United (MUFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Kali terakhir Cheng Hoe mengendali pasukan Liga Super adalah ketika membimbing Kedah Darul Aman FC pada 2016 dan membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia dan menduduki tempat ketiga dalam saingan liga.
Jurulatih berusia 54 tahun itu kembali ke saingan Liga Malaysia selepas Selangor melantiknya sebagai ketua jurulatih baharu bagi menggantikan pengendali interim, Nidzam Jamil.
Sebelum ini, Nidzam Jamil dilantik sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner.
Cheng Hoe (kanan) bersama Mukhairi Ajmal sewaktu sesi latihan. — Facebook/SelangorFC
Menurutnya, pada perlawanan pertamanya ini, dia mengharapkan agar kesemua anak buahnya dapat memberikan kerjasama positif dan mencapai sasaran yang diingini oleh skuad Gergasi Merah.
“Saya memang teruja sebab dapat kembali ke Liga Super bersama Selangor.
“Saya lihat ada perkara-perkara positif dalam kalangan pemain. Kemenangan itu adalah satu sasaran yang diinginkan dalam pasukan. Diharapkan setiap pemain berikan kerjasama positif bersama pasukan,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas perlawanan menentang skuad Hang Tuah, bekas jurulatih kebangsaan itu akui bahawa pemain-pemain bersama Harimau Malaya pada aksi Piala Raja Thailand baru-baru ini akan menjadi harapan bagi kesebelasan utama Selangor FC.
Shahrul Nazeem mendapat panggilan pertama Harimau Malaya sewaktu kejohanan Piala Raja Thailand. — Facebook/SelangorFC
“Baru beberapa hari dalam sesi latihan dan saya melihat ada beberapa pemain yang komited dalam perlawanan itu
“Jika kita lihat pemain-pemain yang bersama skuad kebangsaan berapa hari lalu, mereka memang berada pada tahap yang diingini.
“Kita memang memerlukan kesebelasan utama yang boleh memberikan persembahan terbaik. Dengan ada pemain seperti Brendan Gan dan Shahrul Nazeem bersama skuad kebangsaan, saya harap mereka berada dalam tahap yang dingini,” tambahnya.
Mengikut rekod, ketika ini skuad Gergasi Merah berada di tangga ke lapan Liga Super dengan mengutip 20 mata, satu tangga di atas Melaka United yang cuma dibezakan dua mata saja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram