Kelab penyokong ada sasaran realistik buat Cheng Hoe


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Cheng Hoe dinamakan sebagai ketua jurulatih Selangor FC bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal dan perancangan untuk musim depan. — Facebook

KEHADIRAN Tan Cheng Hoe membimbing Selangor FC sememangnya mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong, namun mereka bersikap realistik dalam memburu sasaran trofi apabila mahu memberi masa kepada bekas jurulatih kebangsaan itu.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, saingan Liga Super yang berbaki empat perlawanan dan saingan Piala Malaysia menjadi penanda aras buat jurulatih itu dalam merangka hala tuju skuad Gergasi Merah.

“Fasa pertama mungkin boleh sasar empat perlawanan tanpa kalah. Mungkin menang dua atau tiga aksi, begitu juga seri.

“Begitu juga Piala Malaysia, mungkin sasaran layak ke suku atau separuh akhir sebagai realistik. Apapun, baki saingan Liga Super adalah permulaan untuk mengintai kedudukan terbaik dalam Piala Malaysia,” katanya.

Mohd Faizal berkata, kehadiran Cheng Hoe pada penghujung musim dilihat sebagai misi serampang dua mata Selangor FC untuk menguatkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

“Ia memberi peluang kepada jurulatih berpengalaman itu menilai prestasi pemain sedia ada untuk dikekalkan atau sebaliknya pada musim 2023.

sfc

Mohd Faizal berkata, kehadiran Cheng Hoe pada penghujung musim dilihat sebagai misi serampang dua mata Selangor FC. — Sukan Sinar

“Selain itu, ia juga bagi membolehkan Cheng Hoe mengintai pemain baharu untuk dibawa masuk pada musim baharu nanti,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi fasa kedua musim depan Selangor FC boleh menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super.

“Sasaran itu dalam proses perjalanan Selangor FC untuk menempah slot ACL (Liga Juara-Juara Asia) pada 2024 atau 2025,” katanya.

Jurulatih berusia 54 tahun itu pada Sabtu dinamakan sebagai ketua jurulatih Selangor FC bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal dan perancangan untuk musim depan.

Ujian pertama Cheng Hoe dalam saingan liga ialah melayan kunjungan Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu. — Sukan Sinar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram