SELANGOR FC melantik Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal baharu dalam persiapan kelab menjelang musim depan.
Pelantikannya dianggap sebagai strategi utama dan selaras dengan aspirasi kelab dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.
Bekking akan memulakan tugasnya secara rasmi di skuad Merah Kuning bermula pada 1 Januari 2023.
Selepas menjadi pemain di Go Ahead Eagles, dia menamatkan pengajian dalam pendidikan bola sepak di Akademi KNVB dan memperoleh beberapa kelayakan seperti Pengajar Jurulatih KNVB, UEFA A dan Pengarah Akademi Pro.
Bekking kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengarah Sukan di Universiti Salford, Manchester, United Kingdom, yang memberi fokus dalam Pengurusan Organisasi Berprestasi Tinggi serta Inovasi & Perubahan.
Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu juga menyandang beberapa jawatan sepanjang kerjaya kejurulatihan profesionalnya sebelum ini.
Bermula di PEC Zwolle, dia memegang jawatan sebagai ketua jurulatih untuk beberapa peringkat umur sebelum menjadi Ketua Pembangunan Belia dan Ketua Pencarian Bakat.
Selepas bersama PEC Zwolle, dia menyertai FC Twente untuk melatih beberapa pasukan peringkat umur yang berbeza sebelum dilantik sebagai pengarah akademi kelab tersebut.
Selepas berbakti selama tujuh sehingga lapan tahun di PEC Zwolle dan FC Twente, dia kemudiannya dilantik menjadi Pengarah Sukan di Go Ahead Eagles dan bertanggungjawab ke atas keseluruhan persediaan teknikal kelab dari pasukan utama sehingga ke akademi.
Pelantikan Bekking dianggap sebagai strategi utama dan selaras dengan aspirasi kelab dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan. ā Selangor FC
Pada 2019, dia menyertai AMD Malaysia sebagai Pengarah Akademi menggantikan Lim Teong Kim selepas kontraknya berakhir 31 Oktober 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pengalaman luas Bekking di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak menjadi Pengarah AMD akan membantunya memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih Selangor FC.
"Ini seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC. Semangat, komitmen dan personaliti Bekking pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FCā, katanya.
Bekas Pengarah Akademi FC Twente itu akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B23, Selangor B20, Selangor B18, dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.
Selain itu, dia juga akan bertanggungjawab untuk membangunkan falsafah bola sepak kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.
Bekking yang teruja untuk memulakan peranan baharunya di Selangor FC berkata, "Selangor FC berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini.
"Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama.
"Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC," katanya.
Selangor FC mengalu-alukan dan mengucapkan selamat maju jaya buat Dennis Bekking dan percaya dia akan terus memperkukuh dan memartabatkan projek pembangunan bola sepak kelab. ā Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram