Kes culik naik lori ayam, jual organ kanak-kanak tak berlaku — Bukit Aman


  • 112
  • Isnin, 26 Sep 2022

Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada susulan sindiket penculikan kanak-kanak kembali aktif.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kegiatan penculikan melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang tular baru-baru ini.

PDRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesan sebaran mesej palsu di media sosial yang meminta masyarakat berwaspada terhadap penculikan kanak-kanak.

"Kanak-kanak itu dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap bagi memudahkan mereka dilarikan dengan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

"Mesej tersebut juga mendakwa, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menemui enam orang kanak-kanak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

WhatsApp Image 2022-09-26 at 7.31.28 PM (1)

Mesej palsu mendakwa berlaku penculikan kanak-kanak bagi pembelian organ.

PDRM memberitahu, semakan mendapati mesej palsu tersebut telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

"PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ melibatkan kanak-kanak seperti didakwa.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai atau menyebarkan berita yang tidak berasas dan tiada kesahihan," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan kemudahan rangkaian tidak wajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram