Rider maut dirempuh di Klang pencarum Perkeso, isteri dinikahi 2 minggu lalu bakal terima faedah bulanan


  • Massa
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Keadaan motosikal arwah selepas dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat pada Jumaat.

WARIS penghantar makanan yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat di Klang, Selangor pada Jumaat akan menerima faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam masa terdekat.

Ketua Cawangan Skuad Perkeso Prihatin, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati arwah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta layak menerima faedah Perkeso.

"Kita telah berhubung dengan keluarga arwah termasuk memeriksa kelayakan dan mendapati waris layak menerima faedah Perkeso. Kita juga difahamkan arwah baru mendirikan rumah tangga pada dua minggu lalu.

"Perkara ini masih peringkat awal namun Perkeso akan membantu menguruskan jenazah arwah dengan memberi bantuan sebanyak RM2,000 dan pembayaran secara bulanan kepada waris (isteri) arwah," katanya kepada Majoriti.

1749982

Tangkap layar yang memaparkan saat arwah dirempuh.

Ismail berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan bersama keluarga arwah pada minggu hadapan bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai faedah yang akan diterima.

"Setakat ini, tiada tarikh yang ditentukan kerana kita ingin memberi ruang kepada waris menyelesaikan urusan berkaitan arwah terlebih dahulu namun akan ada pertemuan dilakukan pada minggu hadapan," katanya.

Sementara itu, Grab Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya dukacita atas kehilangan seorang pekerja yang berdedikasi.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Muhaimin Mohad Sain@Mohd Said, 34, atas kejadian ini. Arwah merupakan seorang pekerja yang rajin dan kami amat berdukacita dengan kejadian yang berlaku ketika arwah mencari rezeki.

"Wakil pengurusan Grab akan menghubungi keluarga arwah untuk mengadakan pertemuan selain memberi sokongan serta bantuan yang diperlukan.

"Pada masa sama, kami meminta orang ramai untuk tidak berkongsi rakaman video insiden tersebut bagi menghormati keluarga dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan," jelasnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Haris Fadhilah berkata, pihaknya telah menghulurkan sumbangan kepada keluarga arwah pada Jumaat.

"Seramai 10 wakil persatuan ini telah berjumpa keluarga arwah bagi memberi sokongan termasuk menghulurkan bantuan wang tunai untuk meringankan beban," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, polis mengesahkan penahanan dua pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati kedua-dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun negatif dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram