Pelatih buat laporan palsu, dakwa warden madrasah dera ala militan


  • 112
  • Isnin, 26 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan wajah mangsa yang cedera selepas mendakwa didera warden di madrasah tersebut.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan penderaan ala militan terhadap seorang pelatih di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, keluarga pelatih mendakwa, kejadian berlaku pada 10 Ogos lalu pukul 11 malam.

"Ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 45 tahun mendakwa anaknya yang juga pelatih di madrasah berkenaan telah dipukul, ditumbuk dan kepalanya diketuk warden.

"Siasatan mendapati, pelatih berusia 20 tahun itu telah dihantar ke madrasah tersebut selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

"Pada 23 Ogos, pelatih terbabit telah membuat satu laporan polis mendakwa telah dipukul di madrasah terbabit sebelum membuat satu lagi laporan pada Ahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

madrasah

Madrasah Darussolihin di, Shah Alam Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, siasatan telah dilakukan terhadap pelatih berkenaan di Hospital Shah Alam, Selangor namun tiada kecederaan ditemui pada mangsa.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes ini. Pengadu telah dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan pada Isnin di Mahkamah Majistret Jenayah Shah Alam kerana membuat laporan palsu dan memberi maklumat palsu kepada polis.

"Orang Kena Tuduh (OKT) yang juga pengadu dalam kes ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dan kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 15 November depan.

"OKT juga telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 sementara menunggu perbicaraan. Hakim juga memberi amaran kepada tertuduh untuk tidak memberi sebarang kenyataan melampau menyentuh kes perbicaraan yang sedang berjalan," jelasnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial selepas tular dakwaan warden di Pertubuhan Kebajikan Darussolihin mendera pelatih ala militan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram