Aksi memukau penjaga gol tinggi lampai 1.94m Tajikistan, jadi rebutan 3 kelab ternama Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 27 Sep 2022

Prestasi Rustam ketika berdepan skuad Harimau Malaya menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/Tajikistan Football Federation

IMPIAN skuad kebangsaan untuk menamatkan penantian 44 tahun menjulang trofi Piala Raja Thailand berakhir apabila mereka tidak dapat memadam cabaran daripada wakil Asia Tengah, Tajikistan apabila tumpas menerusi penentuan sepakan penalti pada Ahad.

Selepas terikat tanpa jaringan selepas 90 minit perlawanan, anak-anak buah kendalian Kim Pan-gon (KPG) gagal mengulangi kejayaan seperti yang dicatatkan ketika bertemu pasukan tuan rumah, Thailand.

Pasukan kebangsaan bermula dengan langkah kanan apabila penjaga gawang, Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan penalti licik yang cuba dilakukan kapten Tajikistan, Akhtam Nazarov.

Namun, keriangan mereka tidak berkekalan selepas sepakan daripada pemain pertahanan, Dion Cools ditepis mudah pemegang jersi no. 1 pasukan itu, Rustam Yatimov.

Rustam sekali lagi menampilkan kebolehannya apabila memastikan sepakan daripada pemain tengah Harimau Malaya, Nazmi Faiz tidak menggegarkan gawang.

Prestasi penjaga gol muda berusia 24 tahun itu berjaya menarik perhatian media tempatan serta mengundang tumpuan daripada penyokong di media sosial yang mendambakan kehadiran Rustam dalam saingan Liga Malaysia musim depam.

Rustam yang ketika ini beraksi bersama kelab Tajikistan, Istiklol dikatakan sesuai dengan kancah bola sepak tanah air dengan ketinggiannya mencecah 1.94 meter.

Di samping itu, ketangkasan yang dipamerkan Rustam sepanjang perlawanan turut menjadikannya sebagai salah satu aset jangka masa panjang buat beberapa pasukan yang bercita-cita hendak menambah baik benteng pertahanan mereka.

Menerusi perkongsian di media sosial, segelintir peminat bola sepak tanah air mula mendesak pihak pengurusan masing-masing untuk cuba memikat khidmat penjaga gawang itu.

1. Johor Darul Takzim (JDT)

Prestasi yang mula merudum daripada kapten pasukan, Farizal Marlias mula menarik tumpuan penyokong Harimau Selatan dengan rata-rata mahu penjaga gol baharu dibawa masuk musim depan.

Meskipun dengan keberadaan pemain simpanan, Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi yang ketika ini bersama JDT II, khabar angin bertiup kencang mengatakan penjaga gawang baharu bakal dibawa masuk ketika jendela perpindahan.

Antara nama yang dikatakan mampu mencabar posisi tersebut adalah pemain Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi apabila sering diturunkan dengan prestasi konsisten dalam saingan Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 26 tahun tersebut juga tidak mengecewakan peminat menerusi aksi cemerlang ketika menyarung jersi kebangsaan, lebih-lebih lagi ketika bertemu Thailand.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Syihan dilihat sebagai antara wajah baharu yang bakal dibawa masuk pihak pengurusan dalam menambah baik kualiti pemain dalam skuad itu.

Namun, selepas penyokong menyaksikan pertembungan antara pasukan kebangsaan dan Tajikistan, mereka mula menunjukkan minat terhadap Rustam melihat kepada persembahannya.

aa376ad7d779492790c8fd5937fd3edf3eae5834

Adakah Farizal akan kekal bersama JDT musim depan? Agensi

"Elok juga sekiranya JDT dapatkan dia (Rustam) ni musim depan. Boleh dibeli dan digunakan sebagai aset buat pasukan dengan menurunkannya ketika melakukan latihan sepakan penalti," kata Suhaillul Yazid.

Tambahan pula, struktur kewangan yang stabil juga membolehkan pihak pengurusan Harimau Selatan untuk membawa masuk pemain tinggi lampai itu bagi membina masa depan cerah.

2. Kedah Darul Aman FC (KDA FC)

26 gol telah dibolosi skuad Sang Kenari dalam saingan Liga Super dan ia membuktikan bahawa barisan pertahanan skuad itu ketika ini sudah tidak sehebat dahulu.

Pemilikan baharu daripada Tan Sri Mohd Daud Bakar berjaya meningkatkan lagi keupayaan KDA FC untuk bergiat aktif ketika jendela perpindahan dalam memikat pemain berkualiti.

Oleh itu, mereka semestinya memberi tumpuan penuh dalam menambah kualiti tonggak pertahanan termasuk mencari penjaga gawang supaya membolehkan pasukan itu bersaing.

Meskipun mereka mempunyai dua penjaga gol yang berkualiti, iaitu Ifwat Akmal dan Shahril Saari, pengambilan wajah-wajah baharu perlu dilakukan bagi menghadapi musim akan datang.

Ifwat-Akmal

Ifwat dirasakan semakin kurang menyerlah buat KDA FC. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Setakat ini, masih tiada khabar angin yang menitip bibir peminat yang mengatakan penjaga gol dalam Liga Malaysia bakal menjadikan Stadium Darul Aman sebagai destinasi baharu mereka.

Namun, segelintir penyokong Hijau Kuning mula berhasrat untuk melihat penjaga gol Tajikistan itu menyarung jersi KDA FC musim depan bagi menggantikan Ifwat.

"Pasukan Liga Malaysia seperti KDA FC atau Selangor FC bolehlah ambil Rustam selepas ini, itupun sekiranya mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh," kata Faizal MN Noor.

"Penjaga gol, Rustam Yatimov tu seperti beraksi dengan baik ketika berdepan pasukan kebangsaan. Boleh rasanya jika dia hendak bermain bersama Kedah selepas ini," kata Nizam Nizam.

Persoalannya, adakah pihak pengurusan terbuka untuk menggantikan Ifwat yang sudah lama menabur bakti bersama KDA FC dengan meraih beberapa anugerah kumpulan dan individu?

Selain itu, khabar angin mengenai barisan kejurulatihan skuad Sang Kenari juga masih berada dalam teka-teki dengan ramai yang mengatakan pengendali, Aidil Sharin Sahak bakal digantikan musim depan.

Perkara itu pastinya memberi kesan kepada pihak atasan dalam mengambil pemain baharu ketika jendela perpindahan apabila pendekatan taktikal ketua jurulatih perlu diberi perhatian.

3. Sri Pahang FC

Selepas satu musim beraksi di tanah air, penjaga gol import Sri Pahang FC, Mamadou Samassa dikatakan bakal pulang ke Eropah dalam meneruskan kariernya.

Ura-ura itu juga mengatakan pemain berusia 32 tahun itu bakal menyertai pasukan yang sedang beraksi dalam saingan Liga Europa (UEL) meskipun tidak menyatakan pasukan itu.

Peluang itu pastinya sukar untuk ditolak Samassa yang sebelum ini pernah berkelana di sekitar benua itu dengan mewakili beberapa pasukan seperti kelab Perancis, Troyes dan Guingamp.

Oleh itu, penyokong pasti terbuka untuk mendapatkan penjaga gawang baahru yang mempunyai struktur fizikal dan kemampuan seperti pemain antarabangsa Mali itu.

Walaupun dengan lambakan penjaga gol berkualiti di Liga Malaysia, pengambilan pemain import mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Tok Gajah menggunakan kemahiran dan pengalaman yang tersendiri.

WhatsApp Image 2022-09-27 at 15.13.53

Samassa dikatakan sudah mendapat tawaran untuk beraksi di Eropah. Facebook/Sri Pahang FC

Dengan persembahan yang ditonjolkan Rustam pada Ahad, perkara itu pastinya menarik minat penyokong sekali gus mengharapkan langkah awal dibuat pihak atasan.

Perkara itu sudah dibincang di media sosial dengan segelintir penyokong terbuka dengan cadangan untuk membawa masuk penjaga gol itu bagi menggalas tugas sekiranya Samassa sah meninggalkan kelab itu.

"Pada perlawanan bersama Tajikistan, saya lihat Rustam ialah pemain tertinggi di antara rakan sepasukan, jadi Sri Pahang boleh menukar penjaga gol musim depan," kata Alam Shah.

"Boleh sekiranya pihak pengurusan Tok Gajah mengambil Rustam ini bagi menggantikan Samasa musim depan," kata Badrul Zaman Lepeh yang bersetuju dengan cadangan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram