Bergson da Silva dalam radar skuad Piala Dunia Brazil, cuba diintai kelab seberang kalau tinggalkan JDT?


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Kontrak Bergson yang hampir tamat bersama JDT membuatkan dirinya diintai oleh pasukan dari negara jiran. — Facebook/Johor Southern Tigers

CENGKAMAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena bola sepak tanah air sememangnya tidak boleh dinafikan dengan tiada kelab-kelab lain yang mampu mencabar kedudukan mereka dalam saingan domestik setakat ini.

Dalam aksi Liga Super, pasukan kendalian Hector Bidoglio itu kelihatan selesa di tangga teratas apabila berjaya mengutip 43 mata daripada 17 perlawanan.

Perbezaan tujuh mata dengan pasukan di tempat kedua, Sabah FC seolah-olah hanya menunggu masa sebelum JDT mengesahkan kejuaraan kali kesembilan berturut-turut meskipun masih terdapat baki lima perlawanan.

Lebih menggembirakan lagi, kejayaan mereka untuk menjulang trofi Piala FA 2022 menunjukkan bagaimana kelab itu mempunyai barisan pemain berkualiti sejak satu dasawarsa sudah.

Campuran antara pemain tempatan dan import membuatkan skuad tersebut meraih kunci kecemerlangan beberapa tahun kebelakangan ini dengan membariskan beberapa tonggak yang perlu diberikan perhatian.

Antaranya, penyerang import kelahiran Brazil, Bergson da Silva yang sememangnya terkenal sebagai penyudah dengan sentuhan berbisa sehingga membolehkannya menempa nama dalam kalangan peminat Harimau Selatan.

Bergson sememangnya satu kelebihan buat JDT dengan 55 gol dijaringkan dalam tempoh dua musim menunjukkan kehebatan pemain berusia 31 tahun itu.

51264688-a1a4-4169-9075-9334fb17525a

22 gol yang dijaringkan Bergson memacu JDT ke tangga teratas Liga Super.

Dalam musim ini sahaja, dia sudah menjaringkan 22 gol dalam Liga Super selain mencipta empat hantaran gol kepada rakan sepasukan dalam memastikan trofi liga kekal di Stadium Sultan Ibrahim.

Dua gol yang disumbangkan dalam perlawanan akhir Piala FA 2022 membuktikan kualiti dan kebolehan yang dimilikinya dalam membantu sesebuah pasukan.

Namun, mengikut data yang dikeluarkan laman bola sepak transfermarkt.com, kontrak Bergson dikatakan menemui penghujungnya sekitar November depan selepas menyertai Harimau Selatan pada Julai 2021.

Perkara itu pastinya mengundang perhatian pihak pengurusan tanah air yang melihat kebolehan Bergson di samping pasukan dari Asia Tenggara juga pastinya memberi tumpuan penuh ke atas status kontrak pemain berjersi no. 9 itu.

majoriti2022 (7)

Tangkap layar komen warganet yang dilihat seperti memberi sokongan terhadap Bergson.

Meninjau ke bahagian komen Facebook kelab Indonesia, Persebaya Surabaya yang memperlihatkan beberapa warganet negara jiran itu meluahkan rasa sokongan jika Bergson dapat menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

“Perhatian kepada CEO Persebaya, bagaimana dengan pemilihan pemain ini, siapa tahu mungkin dia akan membawa pulang piala untuk kita,” kata Murai Mania.

“Siapkan sahaja bayarannya yang mungkin mencecah lima kali lipat (ganda),” kata Nanang Ferdiansyah.

“Bagaimana jika kita cuba mendapatkan dia,” kata Rizky Ginanjar.

Untuk rekod, Bergson memulakan kerjaya dalam arena bola sepak sekitar 2006 menerusi Gremio dan seterusnya berpindah ke bebarapa pasukan antaranya Fortaleza, Ceara serta Athletico-PR.

Pada masa sama, ada juga usikan-usikan nakal dalam kalangan penyokong khususnya peminat JDT yang menyifatkan Bergson layak menyarung jersi skuad antarabangsa Brazil pada Piala Dunia 2022 di Qatar, November depan meskipun negara samba itu cukup mewah dengan penyerang berkelas dunia seperti Gabriel Jesus, Roberto Firminho, Neymar dan ramai lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram