'Jangan lupa perjuangan ubi muda,' penyokong harap FAM tidak lalai


  • Podium
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Harapan besar diletakkan ke atas pasukan kebangsaan untuk beraksi cemerlang dalam Piala Asia B20. — Facebook/Football Association of Malaysia

RENTAK dan prestasi cemerlang pasukan kebangsaan diharapkan mampu diteruskan bermula dengan kejohanan Piala Raja Thailand yang bakal berlangsung pada 22 hingga 25 September ini.

Skuad kendalian Kim Pan-gon (KPG) dijadualkan bertemu Thailand sebagai tuan rumah pada perlawanan pembukaan pada Khamis sebelum berdepan sama ada Tajikistan atau Trinidad and Tobago.

Harimau Malaya kelihatan bersedia bagi pertandingan itu dengan barisan pemain yang dipanggil tampak bersemangat dan menampilkan wajah-wajah baharu selepas kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Selain itu, Piala Raja Thailand itu juga pastinya digunakan sebagai medan latihan dan persiapan sebelum menghadapi kejuaraan Piala AFF 2022 yang akan berlangsung pada Disember.

Perkara ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan KPG dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memberikan nafas baharu terhadap Harimau Malaya sekali gus membawa mereka ke aras yang lebih tinggi.

Namun, di sebalik persiapan yang dilakukan, penyokong bola sepak tanah air juga berharap agar penekanan juga diberikan terhadap pasukan remaja yang sepertinya kurang diberi perhatian.

306141554_781645089575396_476459954537022878_n

Skuad Harimau Malaya B20 mudah menewaskan Sri Lanka pada Jumaat. — Facebook/Football Association of Malaysia

Pelahiran akar umbi dan bakat-bakat baharu bukan sahaja dapat menawarkan masa depan lebih cerah, malah kejayaan itu dapat memastikan kualiti sukan bola sepak dapat dikekalkan secara berterusan.

Tetapi, lain pula kisahnya apabila penyokong berasakan pihak pengurusan sepertinya bersikap acuh tak acuh dengan kemampuan pemain muda meskipun mereka beraksi dalam mana-mana kejohanan.

Seorang penyokong, Amin Nurhazim berkata, perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada pasukan remaja bagi memastikan prospek masa hadapan tidak disia-siakan.

"Untuk FAM, tolonglah beri pantauan yang lebih untuk skuad bawah umur negara juga kerana jika lihat negara-negara serantau, persatuan bola sepak mereka amat menitik beratkan akar umbi bola sepak.

"Bagi pasukan remaja kita pula, kemenangan ke atas Mongolia pun tidak boleh diraih dalam Piala Asia Bawah 20 Tahun (B20) dan dengar khabar, mereka tidak mempunyai persediaan mencukupi," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Hakim Ateng yang berharap agar bakat-bakat baharu bola sepak tidak dilupakan dengan memberi perhatian yang secukupnya.

"Akar umbi pun jangan dilupakan kerana pemain tempatan nampaknya semakin tenggelam dan saya rasa, pelaburan perlu dilakukan buat pemain-pemain muda ini.

"Kena buat lebih banyak pemilihan pemain berusia 18 tahun ke bawah dari setiap negeri untuk diserap ke pasukan Piala Presiden dan liga simpanan untuk tahun depan," katanya.

Pasukan kebangsaan B19 ketika ini sedang bersaing dalam kejohanan Piala Asia B20 di Mongolia dan sedang menduduki tangga kedua kumpulan selepas meraih empat mata.

Mereka selepas ini bakal bertemu pasukan teratas, Korea Selatan selepas mencatakan keputusan seri dengan Mongolia dan menewaskan Sri Lanka dengan keputusan 3-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram