AZHAD Harraz Arman merupakan prospek muda Sabah FC dan turut dianggap sebagai bintang dalam pembikinan yang berharga buat negara pada masa akan datang.
Nama pemain berusia 19 tahun itu mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas menjadi penjaring terbanyak tempatan di Liga Perdana, pada musim lalu.
Pemain kelahiran Semporna, Sabah berketinggian 1.71 meter berjaya menjaringkan lapan gol bersama skuad Projek FAM-MSN musim lepas.
Melihat kepada prestasi memberangsangkan Azhad Harraz di pasukan itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sanggup turun ke Semporna untuk menawarkan kontrak selama empat tahun kepadanya.
Bakat Azhad Harraz (kanan, depan) menjadikannya seorang prospek muda yang wajar digilap Sabah FC. — Facebook
Setakat ini, Azhad Harraz sudah membuat sembilan penampilan bersama Sabah FC dan walaupun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, namun dia menunjukkan aksi positif bersama The Rhinos.
Sudah tentu dengan bakat yang ada pada Azhad Harraz menjadikannya seorang prospek muda yang wajar digilap oleh Sabah FC dan skuad muda kebangsaan.
Rata-rata penyokong The Rhinos juga berharap Azhad Harraz dapat menyinar di bawah bimbingan Kim Swee.
Seorang penyokong Sabah, Jumin Parit berpendapat, Azhad Harraz masih boleh memperbaiki cara permainan untuk menjadi setanding bintang Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Azhad Harraz dinasihati supaya lebih tenang mengawal bola. — Facebook
"Cara Azhad Harraz dan Arif Aiman bermain jauh berbeza. Dia bermain cara laju tapi mudah kehilangan bola. Perlu kawal diri macam Arif Aiman yang bukan sahaja lincah tapi tenang mengawal bola di samping memiliki ketajaman tendangan di kedua-dua belah kaki.
"Pakar gelecek bola yang membuat pihak lawan sering tertipu dengan caranya menggelecek. Saya sifatkan Azhad Harraz sebagai sebutir mutiara semulajadi," katanya.
Arik Gost pula berpendapat, Azhad Harraz boleh berguru dengan import Sabah FC yang lebih senior seperti Saddil Ramdani dan Taiki Kagayama untuk mendapatkan gaya permainan yang lebih mantap.
"Banyak lagi perlu belajar kalau mahu jadi penyerang terbaik. Jangan kelam-kabut bawa bola.
"Skil individu penting. Kadang-kala pandai hilang bola. Semoga permainan lebih mantap selepas ini," ujar Mohd Izzuddin Charles. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram