SELEPAS bertahun-tahun megah di arena bola sepak negara, Selangor FC sedang bergelut dalam prestasi sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kegagalan untuk menjulang sebarang trofi sejak 2015 ditambah dengan prestasi terumbang-ambing dalam Liga Super menyebabkan penyokong berasa tidak berpuas hati dengan pasukan itu.
Tidak cukup dengan itu, persembahan yang tidak bermaya musim ini menyebabkan mereka terperosok di tangga kelapan selepas mengharungi 17 perlawanan selain tersingkir daripada saingan Piala FA pada peringkat separuh akhir.
Pengumuman daripada Malaysian Football League (MFL) untuk memperkenalkan struktur liga baharu pasti memberi amaran kepada pihak pengurusan Selangor FC dalam mempersiapkan skuad itu.
Selain mencari pemain baharu, pelantikan ketua jurulatih yang berpengalaman dan berkebolehan merupakan kunci kepada prestasi konsisten sekaligus membolehkan mereka mencapai kejayaan.
Oleh itu, penyokong pasti mahu nafas baharu musim depan bagi menggantikan ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang dilantik sebagai pengendali sementara The Red Giants.
Baru-baru ini, media melaporkan pihak pengurusan Selangor FC sudah menyediakan senarai pendek calon ketua jurulatih baharu yang kelihatannya mampu dilantik dalam masa terdekat.
Namun, hantaran itu tidak menyertakan nama-nama pengendali yang dikaitkan dengan The Red Giants bagi menggantikan Nidzam Jamil dalam usaha memburu kejayaan.
Beberapa nama telah disebut-sebut penyokong dalam ruangan komen yang berhasrat melihat wajah baharu berdasarkan kemampuan dan profil calon yang tersendiri.
Nafuzi Zain
Selepas berjaya membimbing Terengganu FC ke pentas akhir Piala FA 2022, nama Nafuzi Zain terus dilonjak-lonjak atas kemampuan dan gaya taktikal yang dipamerkan.
Pengendali kelahiran Kelantan itu sememangnya tidak asing dalam arena bola sepak sekitar Pantai Timur setelah dia pernah mengemudi pasukan remaja Kelantan FA dan Terengganu FC.
Namun, sejak 2019, kepercayaan diberikan pihak pengurusan untuk membimbing skuad Sang Penyu bagi menggantikan pengurus berpengalaman, Irfan Bakti.
Penyokong Terengganu FC pasti tidak mahu kehilangan ketua jurulatih ini. — Facebook/Terengganu FC
Nafuzi tidak menunggu lama untuk memaparkan sentuhan magisnya dengan memastikan pasukan itu beraksi dengan konsisten dalam saingan Liga Super selain mengasah bakat-bakat baharu.
Tambahan pula, kejayaan untuk membawa skuad itu ke perlawanan akhir Piala FA musim ini menyebabkan ketua jurulatih berusia 43 tahun itu giat diburu beberapa pasukan lain.
Antaranya, Selangor FC yang mengharapkan perubahan dalam skuad kejurulatihan mampu mengambalikan semula semangat serta memberi saingan hebat dalam kesemua pertandingan yang mereka sertai.
Meskipun sebelum ini Nafuzi pernah menolak khabar angin yang mengatakan dia bakal menyertai Selangor FC, pintu untuknya pasti tidak akan ditutup apabila dia mula menempa nama dengan kebolehan yang dimiliki.
Perkara itu disambut penyokong, Hisham Hashim yang tidak menolak cadangan sekiranya Nafuzi Zain dilantik sebagai pengendali The Red Giants musim depan, lebih-lebih lagi dengan tarikan yang bakal dibawa.
"Dengar-dengar Nafuzi Zain jadi ketua jurulatih Selangor FC tahun depan dan jika dia sertai, pasti pemain sayap, Faisal Halim akan mengikuti jejak dengan menyertai The Red Giants," katanya.
K Rajagobal
Datuk K Rajagobal merupakan satu figura yang tidak asing lagi buat peminat bola sepak tanah air apabila dia sudah berkali-kali mencatatkan kejayaan bersama beberapa pasukan Liga Malaysia.
Lebih-lebih lagi, kejuaraan Piala AFF 2010 bersama skuad kebangsaan menyebabkan namanya kekal sebagai satu memori manis setelah momen indah itu sukar untuk diulangi.
Namun, ketika ini, beliau tidak lagi membimbing mana-mana pasukan selepas kali terakhir bergelar ketua jurulatih kepada skuad kebangsaan Brunei sehingga awal tahun ini.
Perkara itu pasti menarik perhatian pihak pengurusan Selangor FC yang semestinya tertarik akan peluang untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman tersebut.
K Rajagobal tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini. — Agensi
Meskipun usia beliau sudah mencecah 66 tahun, pengalaman K Rajagobal pastinya sukar untuk ditandingi dan ia memberi kelebihan dalam usaha mencapai tahap seperti sebelum ini.
Selain itu, penyokong juga tidak menolak peluang untuk mendapatkan khidmat pengendali kelahiran Kuala Lumpur itu dengan menyuarakan minat mereka menerusi media sosial.
"Pada saya, dua individu yang sememangnya mengenali identiti Selangor FC ialah dua bekas jurulatih, K Rajagobal dan Mehmet Durakovic yang pernah membimbing pasukan itu," kata Jorge Lanrenzo.
Nidzam Jamil
"Kekalkan sahaja Nidzam Jamil kerana pada saya, sejak dia menggantikan Michael Feichtenbeiner, kelihatan seperti ada perubahan dalam rentak permainan Selangor FC," kata Mohamad Mohamad.
"Biarkan sahajalah Nidzam itu kekal bagi musim depan, kerana saya tidak mahu persembahan dan prestasi yang tidak konsisten daripada ketua jurulatih baharu," kata Shahdan Salehuddean.
Itulah antara pandangan yang diberikan penyokong The Red Giants yang berhasrat agar pengendali sementara mereka, Nidzam Jamil supaya kekal dengan jawatan itu musim depan.
Adakah Nidzam berjaya mengekalkan kedudukannya bagi musim depan? — Facebook/Selangor FC
Meskipun memulakan karier kejurulatihannya dengan langkah kiri bersama The Red Giants, dia mula menampakkan semangat dan kebolehan sekiranya diberikan tempoh dan pemain yang sesuai.
Ketika ini, Nidzam hanya bergelar ketua jurulatih interim yang pastinya boleh berubah sekiranya mereka mampu menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang.
Prestasi dan kebolehan ketika membimbing Felda United juga menjadi antara sebab untuk melihat individu kelahiran Selangor itu terus menabur bakti bersama Selangor FC.
Lebih-lebih lagi, Nidzam telah meluangkan hampir dua tahun bersama Selangor FC ketika bergelar pembantu jurulatih dan ini pasti membolehkannya mengenali pemain dalam skuad remaja dengan lebih mendalam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram