SELEPAS berjaya menundukkan Melaka United FC 3-0 dalam aksi Liga Super pada Jumaat, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kelihatan lebih selasa untuk mendapatkan rentak dalam menghadapi baki-baki perlawanan.
Tiga mata berharga yang berjaya diperolehi itu juga meletakkan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak di kedudukan kelima Liga Super selain tiga gol yang dijaringkan berjaya menambah baik perbezaan jaringan pasukan itu.
Kemenangan itu juga semestinya menggembirakan skuad Sang Kenari dan penyokong setelah mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, kemenangan kali kedua berturut-turut ini juga mampu menghadirkan kelegaan melihat kepada kelebihan perlawanan yang dimiliki KDA FC.
Mahmoud al-Mardi menjaringkan dua gol ketika bertemu MUFC di Stadium Darul Aman. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Namun, penyokong Hijau Kuning masih percaya ketua jurulatih pasukan itu perlu menambah baik pendekatan serta kemampuan para pemain untuk mendaki carta liga.
Meskipun menang dengan tiga jaringan tanpa balas, penyokong Sang kenari melihat ia bukanlah kemenangan bergaya apabila persembahan yang ditampilkan di Stadium Darul Aman masih perlu diperbaiki.
Laman Facebook Pena Bola Kedah berasakan skuad KDA FC perlu bergerak dengan lebih teratur apabila rentak mereka ketika separuh masa pertama tidak meyakinkan.
"Walaupun KDA FC menang, masih banyak kelemahan pasukan ini kerana saya lihat, semasa separuh masa pertama, pasukan ini sememangnya bermain dengan tidak teratur.
"Selain itu, mereka terlalu mengharapkan kecemerlangan daripada individu-individu penting seperti Mahmoud al-Mardi dan Fayadh Zulkifli sepanjang perlawanan itu," katanya.
Penyokong itu juga meramalkan skuad Sang Merah akan bergelut sekiranya berdepan dengan pasukan yang lebih hebat dengan persembahan yang lebih bertenaga di atas padang.
"Kalau jumpa pasukan seperti Terengganu FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City FC, saya rasa memang KDA FC akan bergelut sekiranya bermain seperti ini," katanya.
Perkara ini turut dipersetujui seorang lagi penyokong, Mohd Shauqi apabila kemenangan yang dicatatkan adalah kerana keadaan semasa pemain dan pihak pengurusan Melaka United yang tidak berada dalam keadaan terbaik.
"Main dengan pasukan yang sedang bermasalah, memanglah mereka boleh menang. Itupun, nasib jugalah Melaka United tidak mempunyai pemain import di bahagian serangan sebab jika ada, memang satu perlawanan yang sukar untuk KDA FC," katanya.
Malim Deman juga berkata, ketiadaan pemain import skuad Hang Tuah seperti Sonny Norde dan Adriano Narcizo memberi peluang lebih cerah buat KDA FC dalam mencatatkan kemenangan.
"Banyak lagi yang perlu diperbaiki, nasib juga Melaka United tidak menurunkan kesemua pemain-pemain import mereka. Jika tidak, memang susahlah untuk Kedah menang, tetapi, apa-apa pun, tahniah buat pasukan ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram