Safawi perlu lupakan JDT, koman-koman pun berhijrah ke liga negara jiran


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Sumbangan Safawi bersama JDT semakin terhad berikutan kehadiran 'ubi muda' yang lebih menyerlah. — Facebook/Johor Southern Tigers

KEMAMPUAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk melahirkan satu bakat baharu buat negara sememangnya menggembirakan penyokong bola sepak tempatan.

Bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi mencuri tumpuan media dan peminat apabila berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan separuh akhir Piala FA ketika Harimau Selatan menjinakkan Penang FC.

Tidak cukup dengan itu, kemampuan pemain sayap itu terus konsisten dalam Liga Super sehingga membolehkannya mendapatkan 10 bantuan gol dalam 15 perlawanan yang dihadapinya.

Namun, perkara ini tidaklah menggembirakan semua pihak apabila kemasukannya dalam kesebelasan utama menyebabkan pihak kejurulatihan menyisihkan pemain lain di posisi yang sama.

Antaranya, pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid yang terpaksa akur dengan bakat Arif Aiman yang sedang menyerlah itu sehingga memaksanya banyak memanaskan bangku simpanan.

Ketika JDT masih berada di bawah kendalian Benjamin Mora, Safawi tidak pernah muncul dalam kesebelasan utama dan hanya memasuki padang dalam minit-minit akhir permainan.

Perkara tersebut jelas menjejaskan sumbangannya di hadapan pintu gol apabila hanya berjaya menjaringkan satu gol dan memperolehi dua bantuan gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Malah, kehadiran ketua jurulatih baharu, Hector Bidoglio seakan tidak mengubah nasib Safawi apabila dia masih tidak dipilih untuk memulakan permainan bagi memberi peluang kepada Arif Aiman.

Bekas pemain Terengganu FC itu semestinya merasakan sumbangannya semakin terhad dan ini akan memaksanya untuk mengubah angin bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Hal tersebut turut dirasai para penyokong yang tidak mahu bakat dan kebolehan Safawi terus tenggelam apabila kehadirannya bersama skuad kebangsaan sering dinanti-nantikan.

ISKANDAR PUTERI 18 Nov -- Pemain  JDT Arif Aiman Mohd Hanapi meraikan jaringan ketika menentang Kedah Darul Aman FC  pada suku akhir perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.Kedudukan separuh masa pertama JDT 1-0  Kedah Darul Aman FC-- fotoBERNAMA(2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kekurangan pengalaman atas padang bukanlah penghalang buat Arif Aiman Hanapi.

Dalam satu hantaran di Facebook, penyokong bola sepak melihat pemain itu perlu menggunakan peluang ketika jendela perpindahan untuk mencari kelab baharu.

"Safawi perlu mengambil angin baharu musim hadapan jika tidak mahu bakatnya disia-siakan dan tanpa minit permainan yang mencukupi, sentuhan Safawi akan semakin berkarat selain ia merupakan satu kerugian buat dirinya sendiri serta buat pasukan kebangsaan," katanya.

Perkara itu dipersetujui majoriti penyokong yang berasakan perubahan pasukan mampu menyajikan lebih banyak peluang kepada pemain kelahiran Terengganu itu untuk beraksi.

Bagi Hafiz Sayuti, Safawi boleh melakukan penghijrahan ke negara-negara jiran untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman sekaligus membantu skuad Harimau Malaya kelak.

"Main dekat negara jiran seperti Singapura, Thailand ataupun Indonesia pun boleh juga. Bukanlah saya hendak mengatakan Liga Malaysia tidak bagus, cuma rugi sekiranya dia tidak cuba untuk bermain di liga-liga lain.

"Sementara masih belum berusia, pemain perlu memanfaatkan kudrat sebaik mungkin sebelum menghampiri usia untuk menghentikan karier sebagai pemain," katanya.

Mat Jenin pula berkata, prestasi Safawi mula merudum sejak pulang daripada pinjaman ke Portugal yang memerlukannya untuk menyertai pasukan lain yang lebih sesuai.

"Memang saya lihat merosot sejak pulang dari kelab Portugal, Portimonense. Jadi, dia perlukan minit permainan dan perlu sertai pasukan yang boleh bagi peluang untuk kembali ke prestasi asalnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram