SIAPA sangka, sebuah pasukan yang baru sahaja berjaya menaikkan nama mereka dalam pentas bola sepak tanah air, menghadapi nasib yang cukup malang sehingga menyebabkan masa depan sendiri dalam kegelapan.
Tidak cukup dengan saingan yang ditunjukkan dalam Liga Super, kelab itu juga mempunyai cita-cita yang terserlah apabila berjaya menamatkan penantian lebih 10 tahun dengan menjulang trofi Piala Malaysia 2018.
Itulah, Perak FC yang juga digeruni dengan nama samaran The Bos Gaurus (TBG) ketika mereka berjaya merasai tahun kegemilangan dengan bintang yang bersinar dalam pasukan itu.
Di bawah kendalian ketua jurulatih kelahiran Australia, Mehmet Durakovic, Perak FC sering turun ke padang dengan keazaman untuk membanggakan penyokong yang tidak sabar untuk melihat kemampuan pasukan itu.
Selain dibintangi pertahanan kental, Shahrul Saad, kelab itu juga dibarisi pemain berpengalaman seperti Nazrin Nawi, Brendan Gan dan penyerang import, Gilmar da Silva yang mengetuai barisan serangan.
Namun, tidak lama selepas itu, Perak FC mula bergelumang dalam isu kewangan berikutan masalah pengurusan dan campur tangan politik sehingga merugikan pasukan itu.
Kejayaan Perak FC menjulang trofi Piala Malaysia 2018 merupakan detik indah buat para penyokong.
Perkara tersebut diikuti dengan isu tunggakan gaji pemain sehingga menyebabkan mereka meninggalkan pasukan itu bagi menyertai kelab yang lebih stabil di Liga Malaysia.
Selepas kehilangan tulang belakang pasukan, TBG terus bergelut dalam saingan liga setelah mereka tidak mampu untuk menyaingi cabaran daripada pasukan-pasukan lain sehingga menyebabkan mereka tersingkir ke Liga Perdana.
Lebih teruk lagi, mereka juga berdepan pemotongan mata daripada Malaysian Football League (MFL) akibat kegagalan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji para pemain.
Pasukan tersebut ketika ini berada di kedudukan ke-11 liga selepas satu lagi musim yang mengecewakan dengan prestasi yang teruk di atas padang yang diharapkan mampu berubah pada masa depan.
Walau bagaimanapun, nasib pasukan tersebut seakan-akan mampu berubah berikutan perolehan daripada XOX Berhad yang juga memastikan Perak FC bebas daripada campur tangan politik.
Bagi penyokong pula, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Bobie Farid Shamsuddin juga diharapkan mampu membawa semula pasukan itu untuk bangkit daripada jurang kekecewaan yang seakan-akan tiada penghujung.
Sumbangan Bobie Farid ditagih dalam TBG musim depan. — Twitter/PerakTheYob
Antara langkah awal yang didambakan penyokong adalah untuk memastikan rombakan secara besar-besaran dibuat ke atas skuad Perak FC bagi saingan liga musim depan.
Perkara ini perlu dibuat dengan melepaskan pemain yang kurang berkualiti dan tidak sesuai dengan pendekatan ketua jurulatih dan digantikan dengan mereka yang lebih baik.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Zaliehasan Zaliehasan berkata, pihak pengurusan baharu perlu mengambil tindakan drastik bagi memastikan TBG beraksi dengan lebih cemerlang musim depan.
"Hanya perlu kekalkan dua ke tiga orang pemain sahaja sementara mereka yang lain boleh tinggalkan kelab itu dan digantikan dengan pemain yang lebih baik walaupun dengan kos yang lebih tinggi.
"Memandangkan pasukan itu sudah swasta sepenuhnya, pihak XOX Berhad mempunyai kebebasan ketika jendela perpindahan untuk memilih mereka yang sesuai tanpa perlu mengambil kira pandangan pihak luar," katanya.
Tambahnya, mereka juga perlu bersungguh-sungguh untuk membangkitkan semula pasukan berkenaan meskipun terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi.
"Carilah pemain yang terbaik dan bagi mereka yang tidak menyerlah dalam skuad, tidak perlu untuk dikekalkan dan saya rasa, sekiranya XOX Berhad tidak bertindak, ia hanyalah satu pembelian yang sia-sia bagi mereka," katanya.
Bagi Ayiey Zo pula, masa depan mereka adalah lebih penting berbanding kedudukan pada hujung musim setelah melihat sinar yang cuba ditunjukkan perbadanan komunikasi tersebut.
"Pada pendapat saya, penyokong dan pengurus pasukan perlu abaikan semula musim ini dan fokus untuk bangkit semula pada musim depan. Bos Gaurus akan digeruni semula," katanya.
Zulhilmi Amy pula berkata, dia berpendapat hanya dua pemain, Sunday Afolabi dan Wan Zack Haikal yang boleh dikekalkan melihat kepada sumbangan mereka ketika ini.
"Sunday dan Wan Zack sahaja yang boleh dikekalkan kerana mereka mempunyai komitmen dalam permainan. Mereka yang lain perlu meninggalkan kelab dengan rombakan musim depan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram