Sentuhan 2 bekas bintang wajib ditagih semula Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 01 Sep 2022

Reputasi The Bos Gaurus masih belum pulih 100 peratus meskipun berada di bawah pemilikan baharu. — Facebook/Perak FC

SELEPAS satu musim yang hambar, Perak FC menyaksikan diri mereka berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana selepas hanya meraih tujuh mata selepas 16 perlawanan.

Pasukan yang sebelum ini sering menunjukkan persembahan terbaik apabila pertembungannya dengan pasukan-pasukan Liga Super sering ditunggu peminat bola sepak tanah air.

Tidak cukup dengan itu, pasukan ini juga pernah memenangi kejuaraan Piala Malaysia pada 2018 apabila berjaya menumpaskan Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Namun, berikutan masalah pengurusan dan tunggakan gaji pemain, Perak FC berdepan hukuman demi hukuman sehingga menyebabkan bintang mereka meninggalkan pasukan yang sedang bergelut itu.

The Bos Gaurus (TBG) akhirnya tersingkir daripada saingan Liga Super tahun lepas apabila mereka dihukum dengan pemotongan mata sehingga menyebabkan mereka berada di kedudukan ke-11 liga.

Kini, skuad kendalian Yusri Che Lah sedang bergelut dalam liga setelah kehilangan tonggak pasukan dan isu pengurusan yang masih tidak berusaha untuk membawa pasukan itu ke arah kecemerlangan.

Oleh itu, dalam usaha menghidupkan semula pasukan itu, kelab itu telah diambil-alih oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad dengan melantik Bobie Farid Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu.

Pemilikan baharu yang dijalankan pada Jun lalu itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penyokong pasukan yang melihat langkah pertama itu bakal menstabilkan semula pasukan itu.

Selain mampu mengubah wajah pentadbiran, penyokong juga berharap prestasi mereka di atas padang mampu bergerak seiring dengan harapan pemilik baharu yang mahu episod gelap ini berakhir.

Pada jendela perpindahan sebelum ini, TBG telah bertindak awal dengan membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Luciano Guaycocheca dan Stipe Plazibat dalam usaha memulihkan semula reputasi mereka.

Namun, prestasi mereka masih tidak berubah apabila kedudukan dalam liga masih tidak berubah dengan mencatatkan 10 kekalahan dalam liga setakat ini.

Oleh itu, rombakan secara besar-besaran perlu dibuat dalam usaha membolehkan mereka bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim depan yang pastinya lebih mencabar.

Dalam satu hantaran di Facebook, penyokong Perak, Mohd Aizat mahu dua bekas pemain, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nurridzuan Abu Hassan untuk dibawa semula ke dalam pasukan itu.

<p>IPOH, 25 Sept -- Pemain Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang pasukan Felda United FC pada perlawanan Liga Super 2020 di Stadium Perak, Ipoh malam ini.Keputusan semasa Perak mendahului 4-1.-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA</p>

Shahrel Fikri (kanan) pernah bermain bersama The Bos Gaurus pada 2019 hingga 2020.

"Permata yang harus dibawa pulang ke kampung halaman, iaitu Nuri (Nurridzuan) dan Eki (Shahrel Fikri) yang mempunyai bakat dan sejarah yang hebat bersama Perak," katanya.

Eki sebelum ini mencatatkan 10 gol dalam saingan Liga Super sebelum kemelut gaji memaksanya untuk berhijrah ke Selangor FC bagi memulihkan semula kemampuan dan kariernya.

Bagi Nuri pula, dia pernah menabur khidmat bersama pasukan itu sebanyak dua kali dengan kemampuannya sebagai penyerang sayap menaikkan lagi namanya dalam kalangan penyokong TBG.

Perkara itu diterima segelintir penyokong apabila kemasukan mereka ini mampu memberikan peluang untuk meraih semula tempat mereka dalam kalangan gergasi Liga Super.

"Kembalilah ke Perak pada 2023 nanti ya," kata Khairul Salleh Sindin.

"Boleh juga, sedang kita cuba untuk naik semula, apa salahnya ambil kedua-dua bekas pemain ini," kata Hairi Salim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram