SSMZA Terengganu jadi venue tuan rumah, okey ke tak?


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

KUALITI padang dan penyelenggaraan SNBJ sering dipersoalkan penyokong bola sepak tempatan. — Agensi

DEBARAN Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semakin terasa, lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya diletakkan di samping seteru utama, Indonesia dan gergasi Asia Tenggara, Vietnam.

Selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada tahun lepas, anak-anak buah Kim Pan-gon (KPG) pasti membawa semangat tersendiri untuk mara dengan lebih bergaya kali ini.

Tidak cukup dengan itu, Harimau Malaya di bawah KPG kelihatan lebih bersedia dan bersemangat dalam saingan kali ini selepas melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023.

Perkara ini pastinya memberi semangat kepada penyokong yang tidak sabar untuk memberi sokongan kepada pemain di atas padang dengan membanjiri stadium dalam setiap perlawanan.

Namun, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu bakal digunakan untuk setiap pertembungan yang melibatkan aksi pasukan kebangsaan sebagai tuan rumah pada kejohanan itu nanti.

Keputusan ini seakan menyebabkan tanda tanya kepada para penyokong apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sering digunakan dalam perlawanan antarabangsa skuad Harimau Malaya selama ini.

Selain faktor geografi, stadium keramat ini mampu menempatkan sehingga 87,411 penyokong yang membantu menyuntik semangat kepada pemain yang turun bagi mengharumkan nama negara.

Namun, kebelakangan ini, nama SNBJ sudah cukup terkesan berikutan kualiti padang dan rumput yang sering terkesan selepas setiap perlawanan sehingga menyukarkan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan.

Lebih teruk lagi, sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Bahrain, hujan lebat menyebabkan padang SNBJ dinaiki air sehingga menyebabkan perasaan berang dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Oleh itu, tidak hairanlah terdapat cadangan dan ura-ura yang mengatakan stadium keramat Terengganu FC ini mampu dijadikan lokasi buat Harimau Malaya beraksi di hadapan para penyokong.

Segelintir penyokong melihat idea ini mampu diteruskan apabila melihat kepada kualiti dan kemampuannya untuk menganjurkan sebuah perlawanan yang pasti ditunggu-tunggu itu.

Sultan_Mizan_Zainal_Abidin_Stadium_(Night)_2021

Stadium ini dikatakan sesuai melihat kepada kualiti padang yang baik. Agensi

"Bagus juga idea untuk bermain di stadium di Terengganu ini, harap warga Terengganu juga dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menonton pasukan negara beraksi sehingga mencatatkan kehadiran penuh di stadium," kata Amin Zulkarnain.

"Saya sokong keputusan ini, sekali-sekala keluarlah daripada asyik menggunakan stadium sekitar Lembah Klang kerana saya tengok, asyik SNBJ sahaja yang digunakan," kata Khairul Nizam.

"Salah satu sebabnya adalah faktor kualiti padang dan ia mampu memuatkan sehingga lebih daripada 40,000 penyokong. Inilah peluang kepada mereka di sekitar pantai timur untuk turun ke stadium dan beri sokongan," kata Nazirul Nazmi.

Tetapi, ada juga dalam kalangan penyokong yang menolak cadangan itu apabila mereka melihat fenomena banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur menyebabkan kesukaran untuk menggunakan stadium itu.

"Saya rasa pihak pengurusan boleh mempertimbangkan pelbagai aspek terlebih dahulu, terutamanya dengan melihat ramalan cuaca terlebih dahulu disebabkan musim tengkujuh. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memilih tarikh yang baik," kata Ameer Ameni.

"Padang memang cantik, tetapi saya risau dengan musim hujan kerana ia boleh merosakkan padang dan ia mampu memberi tanggapan buruk kepada penyokong dari luar negara," kata Amin Chik.

"Hujung tahun bukankah kebiasaannya musim hujan? Sudahlah stadium ini tiada bumbung, sudut pandangan kamera juga tidak berapa kemas dan saya lihat, kapasiti juga sangat terhad," kata Erid Malinkid.

Skuad kendalian KPG dijadualkan untuk memulakan kempen kali ini pada 21 Disember apabila bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon sebelum menjadi tuan rumah untuk menerima kunjungan Laos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram