Bimbang badi Piala Malaysia 2021 berulang, penyokong JDT enggan mendabik dada


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Persaingan sengit dijangka akan berlaku antara JDT dan TFC di pentas final Piala FA pada Sabtu ini. — Bernama

BAHANG final Piala FA semakin terasa apabila ruang media sosial dipenuhi dengan perbualan hangat berkenaan dengan siapa di antara pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim (JDT) yang bakal dijulang sebagai juara pada Sabtu.

Perlawanan akhir edisi ke-32 yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu sangat dinanti-nantikan setelah dua edisi terdahulu tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Di atas kertas, kelebihan dari segi kekuatan pasukan lebih menjurus ke arah skuad Harimau Selatan yang dibarisi dengan himpunan pemain-pemain hebat serta dilengkapi dua mesin gol seperti Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Namun, sebahagian penyokong JDT enggan terlalu mendabik dada dengan kekuatan di atas kertas kerana menurut mereka, tiada siapa boleh menduga keadaan ketika perlawanan sebenar.

Mengambil kekalahan pada Piala Malaysia 2021 sebagai iktibar, penyokong JDT mahu skuad kendalian Hector Bidoglio serta ekor Harimau Selatan itu ikut resmi padi, iaitu semakin berisi semakin tunduk.

SNBJ pernah menyaksikan kenangan pahit JDT tewas di tangan KL City meskipun tampil sebagai pasukan pilihan. Bernama

Kamaruzzaman Mohd Yusof melalui ruangan Facebook menasihati pasukan JDT dan penyokong supaya tidak terlalu membongkak atas kejayaan yang belum lagi pasti menjadi milik mereka.

"JDT jangan terlalu mendabik dada tapi tanam sikap sederhana dengan lain perkataan, Insya-ALLAH. Sebab kita tidak tahu pasukan lawan macam mana dia main kat stadium Bukit Jalil. Menang atau kalah 50-50.

"Itu diterjemah dalam padang dengan kehebatan masing-masing," katanya.

Kamal Ithnin menyambung: "Minta-minta tragedi pada final Piala Malaysia 2021 tidak akan berulang lagi. Kita hadir ke pentas final sebagai pasukan pilihan tapi akhirnya tewas. Sedih kan?".

Sebagai rekod, JDT gagal mempertahankan trofi Piala Malaysia setelah ditewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 0-2 di pentas final di SNBJ, tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram