KEHADIRAN lebih 25,000 peminat membanjiri konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 pada Khamis menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Penganjuran konsert penyanyi antarabangsa itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang juga merupakan venue final Piala FA yang akan berlangsung pada 10 September depan.
Menerusi sekeping gambar yang tular di media sosial, walaupun pentas persembahan artis antarabangsa itu di tepi tetapi lalu penonton menggunakan bahagian tengah padang stadium tersebut dan ia ditutup dengan ada pagar disekeliling kawasan berkenaan.
Bagaimanapun situasi itu masih menimbulkan kegusaran penyokong kerana bimbang ia tetap akan merosakkan keadaan rumput di padang stadium yang pernah bermasalah terutama jika hari hujan menjelang perlawanan akhir nanti.
Berikutan itu, penyokong bola sepak tempatan mempersoalkan kesan tindakan mengadakan konsert itu kerana ia boleh memberi kesan kepada kualiti rumput yang bakal menjadi medan 'pertempuran' di antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada saingan akhir Piala FA nanti.
Satu Jiwa menerusi laman Facebook Semuanya BOLA Group berkata penganjur seharusnya tutup padang secara penuh seperti yang dilakukan di luar negara agar kualiti rumput dapat dijaga.
"Salah satu punca padang cepat rosak (adalah seperti dalam gambar). Tak kisahlah nak anjur apa sekali pun, padang tu tutuplah sepenuhnya.
"Dekat luar negara pun ada anjurkan konsert di stadium tetapi mereka tutup padang sepenuhnya. Nak tiru negara luar, tapi tak guna otak," katanya.
Aidil Dzulkhaire pula menyambung: "Rugi kalau Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim taja rumput. Kalau mentaliti pengurusan masih lagi kelas ketiga.
Eilish kali pertama bertandang ke Kuala Lumpur pada siri jelajah dunia mempromosikan album terbaharu Happier Than Ever. — Agensi
Tak faham kenapa nak buat dekat SNBJ dan bukan Axiata Arena? Bukan nampak pun kalau tengok konsert di stadium bola sepak," kata Aiman Naim.
Pada Jun lalu, SNBJ ditutup bagi kerja baikpulih setelah isu kualiti padang serta fasiliti stadium dikritik menjelang perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia.
Media tempatan melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kadbod keras untuk membuang air bertakung di atas permukaan padang di SNBJ sebelum perlawanan Malaysia dan Bahrain itu.
Sebagai rekod, TMJ mengesahkan bahawa baginda akan menaja kos penanaman rumput baharu di SNBJ dengan menukar rumput jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass yang sedia ada.
Proses penanaman rumput baharu di SNBJ akan bermula pada Januari tahun hadapan dengan kos dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram