Nama 4 bekas bintang kembali bermain di bibir peminat Kedah


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Prestasi Kedah musim ini cukup mengecewakan peminat. — Agensi

MENGALAMI kekalahan demi kekalahan dalam saingan di Liga Super selain tersingkir di peringkat separuh akhir Piala AFC sememangnya mengecewakan seluruh peminat Kedah Darul Aman (KDA FC).

Ketika ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hanya mengutip 18 mata di tangga ketujuh Liga Super.

Menerima pelbagai reaksi dan kecaman daripada penyokong Sang Kenari, rata-ratanya enggan berputih mata untuk aksi liga super seterusnya menentang pasukan Penang FC pada 2 September depan.

Dalam pada itu, segelintir penyokong juga turut menaruh harapan agar Kedah membawa masuk semula pemain berpengalaman yang pernah menjulang kejuaraan bersama pasukan negeri itu suatu ketika dahulu.

Bosan dengan prestasi kurang memberangsangkan Kedah pada musim ini, penyokong Hijau Kuning juga mahu pihak pengurusan untuk fokus pada hala tuju skuad pada musim depan.

Antara nama-nama bekas bintang yang disaran untuk dibawa masuk semula adalah Syafiq Ahmad, Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan dan Rizal Ghazali.

sha

Syafiq Ahmad pernah dipinjamkan secara kontrak ke pasukan KDA FC selama setahun oleh JDT.

Shafiq Ahmad sememangnya merupakan pemain sensasi yang bukan sahaja telah membawa banyak kejayaan pada skuad Sang Kenari, malah turut membarisi skuad Harimau Malaya.

Untuk rekod, penyerang berusia 27 tahun ini pernah dipinjamkan secara kontrak pada skuad KDA FC selama setahun dan telah menjaringkan dua gol daripada sembilan penampilan.

Namun, pemain itu kini telah kembali ke pangkuan pemilik asal pasukannya iaitu JDT setelah kontrak pinjaman beliau ditamatkan lebih awal daripada sepatutnya.

Masih tersenarai antara penyerang berbisa negara, penyokong masih percaya bahawa pemain itu mampu membawa perubahan pada skuad Kedah sekiranya beliau kembali menyarung jersi pada musim depan.

Selain itu, antara nama lain yang disebut-sebut bakal membawa kejayaan pada skuad Hijau Kuning tidak lain dan tidak bukan bekas kapten, Baddrol Bakhtiar.

Baddrol Bakhtiar merupakan antara tunjang utama barisan tengah pasukan KDA FC suatu ketika dahulu. — Agensi

Merupakan antara pemain paling lama beraksi bersama pasukan Kedah, maka tidak hairanlah mengapa sentuhan pemain veteran ini masih ditagih ramai penyokong.

Mewakili pasukan Kedah selama 15 tahun bermula dari 2006 sehingga 2021, pencapaian pemain ini tidak perlu lagi dipertikaikan kerana telah menjaringkan sebanyak 80 gol sepanjang beraksi di Liga Super.

Jodoh bersama Kedah tidak berpanjangan apabila pemain ini mengambil keputusan untuk mewakili pasukan Sabah FC pada awal tahun ini dan juga merupakan antara tunjang utama barisan tengah pasukan itu yang kini sedang menghuni tangga kedua Liga Super di belakang JDT.

Selain Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan turut dikaitkan penyokong dengan perpindahan semula ke Kedah pada musim depan kerana menurut penyokong, rata-rata ingin menyaksikan kedua-dua pemain itu kembali mengemudi jentera tengah pasukan dalam menghasilkan lebih banyak peluang untuk mencipta gol seperti dahulu kala.

Menerima gelaran 'Messi Kedah' suatu ketika dahulu, Farhan Roslan kini turut bersama Baddrol di Sabah.

Meskipun baru menginjak usia 25 tahun, Farhan yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 itu boleh dianggap antara pemain senior di Kedah kerana telah beraksi bersama pasukan itu sejak 2014.

Bagi melengkapkan senarai empat pemain harapan penyokong Sang Kenari, sentuhan Rizal Ghazali turut dirindui ramai kerana beliau merupakan antara bintang yang berjaya menjulang pasukan itu pada kejuaraan Piala FA tahun 2019.

Bermain di posisi pertahanan kanan, beliau adalah antara individu penting yang memainkan peranan dalam membuat larian serta hantaran jauh yang boleh menghasilkan gol ketika perlawanan.

Menerima pelbagai reaksi dan komen di laman Facebook, rata-rata mahukan keempat-empat pemain tersebut untuk kembali ke Kedah pada musim depan.

Azlan Omar berkata: "Masa dulu Baddrol, Rizal Ghazali dan Farhan main Kedah mereka la banyak buat perancangan untuk mencari gol, kenapa kontrak mereka bertiga ini tak disambungkan je untuk KDA FC.

"Masalah sekarang di barisan tengah takda penyerang berkualiti yang boleh diharap, tu yang jadi masalah sekarang.

"Harap tahun 2023 Kedah panggil semula tiga pemain ni untuk perkuat pasukan, harap pihak pengurusan buatlah yang terbaik," katanya.

Anak Jati Kodiang pula berkata, sentuhan Syafiq diharapkan sekali lagi ditagih Kedah musim depan, tambahan pula tempoh pinjamannya tempoh hari begitu singkat dan tidak sempat beraksi bersama Hijau Kuning di pentas AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram