Wan Kuzain semakin menyerlah, tetapi berbaloikah wakili Harimau Malaya?


  • Podium
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Wan Kuzain Wan Kamal (baju hitam) ketika ini sedang bermain dalam liga MLS Next Pro. — Facebook/Wan Kamal

SIAPA saja yang tidak mengenali Wan Kuzain? Seorang pemain yang sedang menempa nama di Amerika Syarikat (AS) selain pernah dilihat sebagai masa depan bola sepak negara.

Wan Kuzain atau nama penuhnya Wan Kuzain Wan Kamal, sebelum ini menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol sepakan percuma ketika mewakili Sporting Kansas City II, sekali gus dilihat sebagai bakat yang akan beraksi buat skuad kebangsaan.

Namun, sehingga kini, pemain berkaki kiri ini masih tidak pernah bermain untuk skuad Harimau Malaya atau Harimau Muda, meskipun mempunyai pengalaman dan susuk fizikal yang mampu meningkatkan tahap permainan pasukan kebangsaan.

Walaupun sebelum ini dia pernah dipanggil untuk berlatih bersama skuad B-23, kesukaran untuk mendapatkan kelulusan dan menyiapkan kertas kerja menyebabkan Wan Kuzain tidak dapat diturunkan untuk beraksi.

Sejak itu, pemain ini sudah tidak lagi berada dalam radar jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee mahupun Brad Maloney yang melihat terdapat pemain lain yang mampu mengisi posisi tersebut.

Dalam tempoh itu juga, dia telah menyertai Rio Grande Valley Toros di liga bawahan bagi mendapatkan minit permainan dalam usaha meningkatkan kemampuannya.

Selepas beberapa tahun mendiamkan diri, Wan Kuzain kembali berada bawah perhatian peminat apabila berjaya menyerlahkan bakatnya setelah menyertai pasukan dari liga simpanan Major League Soccer (MLS) Next Pro, St. Louis City SC 2.

Meskipun hanya diturunkan sebagai pemain tengah, Wan Kuzain setakat ini berjaya menjaringkan enam gol dan mencatatkan lima bantuan gol.

Prestasi pemain berusia 23 tahun ini jelas memberikan bantuan terhadap pasukannya apabila mereka sedang menduduki tangga kedua dalam liga skuad simpanan ini.

WhatsApp Image 2022-08-25 at 3.10.37 PM

Wan Kuzain ketika menjaringkan gol menentang North Texas SC Facebook/Wan Kamal

Namun, sekali lagi persoalan timbul apabila terdapat perpecahan pendapat dalam kalangan penyokong yang tidak dapat memastikan masa depannya bersama pasukan kebangsaan.

Bagi Zamziba Zabidi, peluang seharusnya diberikan kepada Wan Kuzain meskipun prestasi dan persembahannya sukar untuk dinilai berikutan kekurangan liputan.

"Apa salahnya kalau Kim Pan-gon (KPG) atau jurulatih B-23 mahu Wan sertai sesi latihan dan sekiranya bagus, dia boleh diturunkan untuk skuad kebangsaan," katanya.

Azrul Anuar Abdullah berkata, sekiranya pemain ini tidak dapat mewakili pasukan bola sepak AS, skuad kebangsaan perlu mengambil peluang untuk memanggilnya ke dalam skuad kebangsaan.

"Kalau dia sukar untuk mendapatkan peluang bermain untuk negara itu, saya harap dia dapat dipanggil untuk bermain bersama skuad Harimau Malaya.

"Cuma persoalannya, adakah dia mahu untuk bermain di tahap Asia Tenggara, itu terpulang kepadanya," katanya.

Namun, ada juga sebahagian penonton yang menolak idea untuk mendapatkan pemain tengah ini untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Bagi Amirul Zikri, kesediaan pemain-pemain kacukan yang bermain di Liga Malaysia lebih layak untuk dipanggil berbanding Wan Kuzain yang sukar untuk dinilai rentak permainannnya.

"Kalau sebelum ini dia tidak mahu untuk bermain untuk skuad kebangsaan, mengapa pula KPG perlu memanggilnya untuk bermain bersama pasukan kebangsaan?" katanya.

Perkara ini turut dipersetujui Shahrul Aerul melihat kepada bakat-bakat baharu yang dilahirkan mampu mengisi slot bagi pasukan Harimau Malaya mahupun skuad B-23.

"Dalam liga ini pun, ramai dah pemain kebangsaan yang boleh bermain dalam posisi pemain tengah pertahanan tu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram