HASRAT Johor Darul Takzim (JDT) untuk menempa satu lagi sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 tidak kesampaian apabila dibelasah wakil Jepun, Urawa Reds Diamonds 0-5 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Saitama, pada Jumaat.
Taktikal jurulatih Argentina, Hector Bidoglio meletakkan Jordi Amat dan Nazmi Faiz di bahagian tengah untuk bergandingan dengan Natxo Insa ternyata memakan diri.
Ketiadaan Leandro Velazquez dan Afiq Fazail juga ternyata menjadi faktor utama JDT layu di Jepun. Begitupun rasa tidak puas hati penyokong bola sepak tempatan lebih ditujukan kepada Jordi yang juga import termahal Harimau Selatan.
Ini kerana rata-rata penyokong meletakkan harapan tinggi terhadap Jordi selaku bekas pertahanan Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris yang berpengalaman merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Seorang pengguna Twitter, DarthMaul berpendapat, Jordi tidak sesuai untuk bermain di peringkat ACL lebih-lebih lagi menentang pasukan Jepun dengan stamina yang hebat.
"Jordi ialah pemain terbaik. Tetapi jelas dia tidak sesuai untuk permainan ini. Untuk permainan Liga Super Malaysia, dia mungkin terlepas daripadanya tetapi bukan perlawanan ACL menentang pasukan Jepun dengan stamina hebat," katanya.
"Jordi Amat is an overrated fraud," ujar No Context Bola Indonesia.
Shane Lowry (tiga dari kanan) dan Jordi (kanan) yang bermain di posisi pertahanan gagal mempertahankan gawang JDT daripada dibolosi lawan. — Twitter/ACL
AmnSyfq turut berpendapat debut Jordi adalah kesilapan terbesar JDT untuk perlawanan ACL.
"Pemain lain yang bawa JDT sampai pusingan 16, Jordi Amat senang-senang je potong queue. Tak puas hati betul aku," tambahnya lagi.
Keesh pula merasakan prestasi JDT secara keseluruhan sangat teruk pada perlawanan berkenaan.
"Jordi nampak lost dalam padang, Kesepaduan dan keagresifan yang dipamerkan di peringkat kumpulan langsung tak nampak.
"Bentuk serangan juga sangat mudah diramal. Mereka perlu sedar daripada lamunan ini," katanya.
Jordi sah menyertai JDT pada 29 Jun lalu. Perpindahan pemain 30 tahun itu ke Harimau Selatan mencetuskan polemik.
Ini kerana ada pihak menuduh pemain berdarah Sepanyol-Makassar itu ingin mendapatkan kewarganegaraan Indonesia untuk kepentingan peribadi, sementara mahu bermain di JDT bagi didaftarkan sebagai pemain import Asia/Asean.
Malah Jordi dikhabarkan menolak tawaran daripada kelab Greece, Panathinaikos, untuk ke Iskandar Puteri bagi menyarung jersi JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram