"TRAINING (berlatih) seorang-seorang sahaja. Siapalah kita nak training (berlatih) dengan pasukan yang hebat," demikian luahan bekas ketua pasukan Kelantan, Zubir Azmi apabila ditanya peminat mengenai statusnya bersama pasukan The Red Warriors (TRW) tersebut.
Luahan tersebut dimuat naik menerusi ciri ask me question akaun Instagram peribadinya, Zubirazmi1616 pada Ahad.
Dalam beberapa siri soalan yang serupa, Zubir terus memberi petunjuk bahawa hatinya telah tawar dengan TRW dan penyokong hanya perlu tunggu pengumuman rasmi dari pihak terlibat.
"I am not your captain anymore. (Saya bukan kapten anda lagi) adalah jawapan pemain berusia 30 tahun tersebut apabila ditegur dengan panggilan tersebut.
Ketika peminat mengucapkan rasa rindu dengan kehadiran Zubir di padang, dia menjawab: " Tak apa... sahabat-sahabat saya galas tanggungjawab dengan baik sepanjang saya tiada."
Pada Mac lalu, pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengesahkan terpaksa melupakan khidmat Zubir sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Tangkap layar interaksi media sosial antara Zubir dan penyokong TRW.
Kehilangan pemain pertahanan berpengalaman itu cukup dirasai ketika skuad TRW yang serius mahu mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.
Disoal mengenai keadaan kecederaannya, Zubir mengakui dia kini sudah boleh melakukan lambungan bola menggunakan kakinya itu.
"Alhamdulilah, semakin baik dan boleh tendang bola. Doakan baik-baik," katanya berserta hastag #comebackstronger!
Sebagai rekod, Zubir yang sebelum ini bersama Sabah FC hampir menggantungkan but bagi memberikan tumpuan penuh kepada keluarga, sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada Kelantan FC untuk beraksi pada baki saingan Liga Perdana, musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram