PERLAWANAN Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang FC yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu malam dicemari insiden pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.
Dalam satu video yang dimuat naik pengguna Facebook ROTP, penyokong mengejek antara satu sama lain sebelum berlaku insiden tumbuk menumbuk antara penyokong tersebut.
"Bola Malaysia ni entah la. Makin lama makin merapu.
"Yang dok angkat piala satu team saja. Yang dok bergaduh sama-sama penyokong team-team bawah ni.
"Kononnya aksi Hang Jebat lawan Mat Kilau la ni? Bawak perangai monyet ke stadium. Tengok bola sudah la," tulisnya.
Insiden itu dilihat berlaku di tempat duduk penonton.
Dalam video tersebut menunjukkan penyokong kedua-dua pasukan dilihat membuat provokasi di antara satu sama lain.
Enggan mengalah, kelihatan penyokong berbaju biru berlari dan menendang lelaki berbaju putih.
Kedua-dua penyokong itu kemudian berbalas tumbukan dan tendangan.
Pergaduhan tersebut juga menyebabkan kedua-dua lelaki itu jatuh berguling ke bawah.
Malah, ada yang membaling mercun ke arah tempat tersebut.
Pihak polis dilihat berada di tempat kejadian untuk mententeramkan keadaan.
Setakat ini, video berdurasi kurang seminit itu telah mendapat 88,000 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi penonton.
"Beria sangat. Esok masuk lokap. Rekod buruk sebab bola," kata Yusri Farulzi.
"Sedih saya tengok perkara macam ini.
"Patut ke kita nak berkelahi sesama sendiri dalam bola sepak.
"Sentimen seperti ini sepatutnya sudah pupus. kenapa perlu koyak? bukannya dapat manfaat," tulis Aiman Shahmi.
Belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram