PRESTASI tidak menentu Kedah Darul Aman (KDA FC) bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan dalam Liga Super, tetapi juga di hati penyokong.
Malah, KDA FC mencatatkan dua kekalahan dalam saingan Liga Super dan tambah memedihkan tersingkir di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC baru-baru ini.
Namun, di sebalik prestasi Sang Kenari yang kian merudum, penyokong masih meletakkan harapan tinggi buat mereka.
Seorang penyokong KDA FC, Jan Fadzli berkata, dia yakin pasukan kesayangannya itu mampu kembali dengan cemerlang musim depan.
Kesebelasan utama skuad KDA FC. — Facebook/KDA FC
"Namun, persediaan harus dibuat lebih awal, penstrukturan jurulatih, pemain termasuk senior dan muda perlu dirangka dari sekarang.
"Perkara ini penting supaya kita tidak terkebil-kebil bila liga bermula. Perlu diingat, kita ada liga simpanan musim depan," katanya.
Jelasnya, musim ini memang KDA FC mengalami masalah seperti kesihatan pemain, jadual yang padat dan banyak bermain di tempat lawan tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan.
Ujarnya, timbul kerisauan apabila pasukan itu masih belum membentangkan sebarang perancangan untuk musim depan.
"Rasanya tak salah untuk merangka perancangan dan maklumkan kepada penyokong. Sekurang-kurangnya penyokong tahu arah tuju pasukan.
Prestasi tidak menentu KDA FC merisaukan penyokong terutamanya persaingan dalam liga musim depan. — Facebook/KDA FC
"Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang mana KDA FC tidak berada di zon selesa. Perkara ini sangat membimbangkan.
"Bukan niat nak memandai, tetapi penyokong tertunggu-tunggu apa perancangan pasukan untuk tahun depan, dua tahun akan datang dan tiga ke lima tahun berikutnya," katanya.
Tambahnya, apa yang dilakukan penyokong kini bukan untuk mempersoalkan, tetapi ingin melihat pasukan kembali menjadi skuad elit yang disegani sama seperti pada 2014.
Untuk rekod, 2014 boleh dianggap sebagai tahun yang cemerlang buat KDA FC selepas berjaya menduduki tempat keempat Liga Perdana dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir Piala FA.
Malah, kecemerlangan KDA FC ketika itu turut dijulang penyerang import mereka, Billy Mehmet yang berjaya menjaringkan 23 gol.
Momentum Sang Kenari kemudian diteruskan pada Liga Perdana 2015 apabila berjaya menjadi juara liga 'dinaikkan pangkat' ke Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram