USAHA murni seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah berakhir dengan tragedi selepas mangsa maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan treler di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Jambatan Sungai Batang Padang di Tapah, Perak pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, Shahriza Ishak, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil seorang lagi anaknya untuk dihantar ke sekolah.
"Siasatan awal mendapati, berlaku pergeseran antara dua kenderaan itu yang datang dari arah sama iaitu dari Tapah menghala ke Kampar.
"Akibat pergeseran itu, mangsa jatuh atas jalan dan diseret hampir 10 meter oleh treler terbabit.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, pemandu treler telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 36 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Waris mangsa telah dimaklumkan akan kejadian itu dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram