Gagal 'update' buku stok, syarikat sorok 60,000kg minyak masak kena tindakan di Senawang


  • 112
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

Pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan dalam serbuan dilakukan di kawasan Industri Sinar Andalas, Seremban. — Ihsan KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 60,000 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM150,000 dalam serbuan ke sebuah syarikat pembungkus minyak masak polibeg bersubsidi di Senawang, Seremban, Negeri, Sembilan, pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Abd Muis Samsudin berkata, serbuan menerusi Op ATM (ayam, telur, minyak masak) dan Op Anti Sorok kira-kira 11.30 malam itu turut menyita sebuah lori tangki yang berada di tempat kejadian dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM400,000.

"Ketika serbuan didapati sebuah lori tangki mengandungi kira-kira 30,000kg minyak masak sedang menunggu untuk dipindahkan ke tangki simpanan. Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat stok simpanan minyak masak sebanyak 30,000kg dalam tangki di premis tersebut.

"Bagaimanapun, apabila semakan terhadap buku penyata stok bekalan minyak masak dilakukan, jumlah baki dalam simpanan yang dinyatakan hanya sebanyak 5,350kg,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan itu syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal menyelenggara buku penyata stok barang kawalan bersubsidi serta memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti dibenarkan dalam lesen.

Abd Muis berkata, siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat unsur penyelewengan dalam rantaian pengedaran minyak masak polibeg satu kg daripada syarikat itu.

Menurutnya, kejayaan kes itu hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan KPDNHEP Negeri Sembilan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi terutama minyak masak polibeg satu kg sekali gus memastikan ia boleh dinikmati golongan sasaran.

Beliau mengingatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan selain pengguna juga diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram