Conteng nama guru wanita guna ayat lucah, punca murid Seremban teruk kena marah


  • Tular
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan dua orang pelajar terbabit dimarahi guru berkenaan gara-gara didakwa menconteng ayat lucah di dinding.

INSIDEN seorang guru yang dikatakan membuli pelajar di sebuah sekolah menengah di Seremban 2, Negeri Sembilan kini memasuki episod baharu.

Semuanya gara-gara dikatakan berpunca daripada tindakan melampau murid berkenaan yang dipercayai mengaibkan guru tersebut dengan menconteng nama guru terbabit menggunakan ayat lucah di dinding sekolah berkenaan, seperti mana yang tular di laman sosial sejak Jumaat.

Kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah sekolah menengah yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Menerusi video pertama yang dimuat naik di aplikasi TikTok meshan229 menunjukkan guru itu sedang memarahi dua orang pelajar.

"Guru SMK Seremban Jaya 2 buli pelajar India di sekolah tersebut.

"Apakah tindakan yang ambil oleh pihak sekolah, Adun dan PPD?," tulisnya.

Dalam video susulan yang turut tular di laman sosial, dua pelajar terbabit kemudiannya dilihat dimarahi guru berkenaan gara-gara menconteng namanya di dinding sekolah.

Cikgu berkenaan turut mendakwa pelajar yang memakai baju sukan sekolah mengetuk pintu bilik darjah.

Menurut cikgu wanita itu, dia merakam video memarahi kedua-dua pelajar itu untuk dijadikan sebagai bukti.

"Saya akan rekod video ini untuk dijadikan bahan bukti.

"Abang saya peguam, semua ini akan dijadikan sebagai bukti sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Awak punya tulisan, Cikgu N**a (nama guru) lepas tu P****n.

"Tulisan yang sama macam awak punya di dinding itu," katanya kepada pelajar berkenaan.

Namun, pelajar tersebut hanya mengaku mengetuk pintu darjah dan menafikan dirinya menconteng nama guru tersebut.

Turut kelihatan dalam video, dipercayai bapa kepada pelajar berbaju sukan itu turut berada dalam bilik tesebut.

Walaupun suara cikgu wanita itu kedengaran garang tetapi pada masa sama dia turut meminta maaf kepada bapa pelajar berkenaan.

"Maaf tuan tapi saya perlu selesaikan isu ini," katanya.

Setakat ini, video tersebut telah mendapat 259,000 tontonan dan rata-rata warganet bersetuju dengan tindakan guru wanita terbabit.

"Menconteng dinding sekolah adalah satu kesalahan, saya tidak nampak pun part buli," kata Ceh597.

"Cikgu tak salah pun, biasalah kalau nakal memang kenalah. Ini bukan kes buli," kata ganesankrishnan14.

"Budak zaman ini kena tegas. Saya tak salahkan cikgu," tulis Ravindran Vengadasamy.

"Paham nak rakam video untuk bukti, tetapi kenapa kena viralkan? Inikah etika seorang guru?" soal Mat Belia.

Belum ada kenyataan rasmi daripada pihak sekolah dan polis berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram