PRESTASI cemerlang Sabah FC sememangnya menjadi tumpuan penyokong apatah lagi pasukan itu kini menduduki tangga kedua di bawah Johor Darul Takzim (JDT) yang juga pendahulu Liga Super.
Malah, dua perlawanan Sabah FC yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah, menyaksikan tiket habis dijual sekaligus mencerminkan keterujaan penyokong terhadap pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.
Namun, menjelang musim depan, bintang Sabah FC, Saddil Ramdani dikhabarkan akan meninggalkan pasukan tersebut.
Terbaharu, pemain dari Indonesia, Andik Vermansyah pula yang dikatakan mungkin akan diintai Sabah FC untuk menyertai pasukan itu.
Saddil menampilkan aksi yang cemerlang bersama Sabah FC. — Agensi
Andik bukan muka baharu dalam liga bola sepak tempatan apatah lagi pemain yang kini beraksi untuk kelab Byahangkara itu pernah bermain untuk pasukan Kedah dan Selangor sebelum kembali ke Indonesia.
Ternyata, penyokong Sabah FC juga menyambut baik keputusan jika Andik dipilih untuk menyertai pasukan kesayangan mereka.
"Andik adalah pemain berkualiti. Jika benar Saddil akan tinggalkan Sabah FC, saya rasa Andik mampu menggantikannya di bawah kuota pemain import Aia Tenggara.
"Potensi Andik boleh dianggap setaraf dengan Saddil apatah lagi pemain itu sangat laju dan mempunyai kawalan bola yang mantap," kata Leo Donial Notnot.
Jep Tempilas pula berkata, apa yang penting ialah Sabah FC memantau tahap kecergasan dan kualiti semasa pemain itu dahulu serta boleh diambil jika bayarannya sesuai dengan prestasi semasanya.
Andik (kanan) sewaktu beraksi bersama Selangor FC pada musim 2014 hingga 2017. — Agensi
Adlan M Adlan pula berpendapat, prestasi Andik dikatakan sudah menurun dan tidak seperti dia bermain dalam liga tempatan dahulu.
"Apa pun kena tengok pada harga dahulu, kalau berbaloi baru kita ambil untuk cuba dia selama semusim," katanya.
Setakat ini, Saddil belum mengesahkan sama ada dia akan kekal atau keluar dari Sabah FC namun ura-ura sebelum ini kuat mengatakan yang dia akan berhijrah ke kelab baharu di Eropah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram