Hilang di Genting Highlands, Honda Civic lelaki Singapura ditemui 'barai' di Putrajaya


  • Benua
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Keadaan sebuah kereta jenis Honda Civic Type R milik seorang warga Singapura yang ditemukan polis di Puteri Palma Condominium, Putrajaya pada 20 Julai lalu. — Agensi

SEORANG warga Singapura yang kehilangan kereta di Genting Highlands, Pahang berputih mata selepas beberapa komponen kenderaan itu dileraikan ketika ia ditemukan semula lima hari kemudian.

Memetik Shin Min Daily News, portal AsiaOne melaporkan bahawa pemilik kereta itu, Damien Yeo, 28, memandu ke Genting Highlands bersama teman wanita dan dua rakannya pada 15 Julai, dan meletakkan kenderaan tersebut di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah SkyAvenue.

Apabila mereka kembali pada hari berikutnya (16 Julai), kereta jenis Honda Civic Type R itu didapati hilang dari tempat letak kereta berkenaan.

Damien segera membuat laporan polis dan menerima panggilan daripada polis pada 20 Julai yang memaklumkan bahawa keretanya ditemui di Puteri Palma Condominium di Putrajaya.

Apabila Damien pergi untuk membuat pengecaman kenderaan, dia terkejut kerana kereta itu hampir tidak dapat dikenal pasti dengan keadaan tayar dan rim kelulinya diganti komponen murah.

Pelekat pembalut kereta berwarna hitam pada keretanya juga dicabut oleh pencuri.

Lebih malang, kunci kereta itu diformat semula supaya kenderaan itu tidak boleh dipandu, selain nombor pendaftaran Singapura digantikan dengan plat Malaysia.

Barang berharga seperti wang tunai dan kad juga dilaporkan hilang manakala bahagian kereta yang dileraikan ditemui dalam but kenderaan.

Menurut Damien, dia perlu mengeluarkan belanja yang banyak bagi menanggung kerugian berjumlah kira-kira S$8,000 (RM25,660).

“Saya tidak dapat tidur selama beberapa hari, namun berasa lebih lega sekarang.

“Buat masa sekarang, saya tidak akan memandu ke Malaysia lagi,” kata Damien seperti dipetik laporan berita itu.

Kereta tersebut dilaporkan dalam tahanan polis Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram