BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) bank bergelar Datuk direman tiga hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret R. Prabakaran selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman lelaki berusia lingkungan 50-an itu di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, suspek ditahan di rumahnya di Ipoh, Perak kira-kira pukul 4 petang, pada Jumaat.
Lelaki itu merupakan individu keempat ditahan SPRM selepas tiga yang lain termasuk seorang wanita berjawatan CEO direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lepas.
Di mahkamah sama, Majistret R. Prabakaran turut membenarkan reman terhadap CEO wanita itu disambung tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi lelaki yang berusia 53 tahun dan 58 tahun dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.
Dalam pada itu, sumber sama berkata, pasukan siasatan berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.
SPRM juga membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut.
"Pasukan siasatan juga dikatakan berjaya mengesan wang milik suspek utama dalam kes ini berjumlah RM16.3 juta yang disimpan di negara jiran.
"Kesemua wang berjumlah RM22.6 juta dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah,” katanya, sambil menambah wang itu berjaya dikesan setelah pasukan analisis data menjejak aset.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram