PERTEMUAN antara JDT dan Penang FC memang hangat diperkatakan, apatah lagi dengan perkhabaran yang mengatakan Endrick dos Santos tidak turun beraksi dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Rabu.
Keputusan merehatkan Endrick daripada bertemu JDT dirasakan penyokong ibarat ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Apatah lagi Penang FC ketika ini sedang bergelut dengan kedudukan di tangga tercorot dalam Liga Super, semestinya penyokong tetap mahu melihat aksi pemain import biarpun prestastinya sering dikritik sebelum ini.
Persoalan mengapa Endrick direhatkan membawa penyokong untuk mengaitkan status pemain itu yang sebelum ini dijangka dilamar oleh JDT.
Kenyataan yang dikeluarkan JDT berkenaan hasrat untuk mengambil Endrick. — Facebook/Johor Southern Tigers
JDT pada Disember tahun lalu pernah menyatakan hasrat untuk mengambil Endrick beraksi bagi pasukan mereka pada musim 2023 dengan cuba menjadikannya sebagai pemain naturalisasi.
Itu yang menjadi sebab mengapa ketiadaan Endrick untuk beraksi menentang JDT menjadi pertikaian dalam kalangan penyokong.
Namun, jika dilihat kembali situasi semasa, JDT sebenarnya berkemungkinan sudah tidak berminat lagi untuk mengambil Endrick.
Perkara ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghentikan projek naturalisasi kebangsaan.
Prestasi Endrick sebelum ini sering mendapat kritikan penyokong. — Facebook
Kalau benar-benar mahu mengambil Endrick, maka kena tunggu 10 tahun untuk mendaftarkannya sebagai pemain tempatan.
Untuk rekod, Endrick baru empat tahun beraksi dalam liga tempatan dan JDT perlu menunggu lebih lima tahun untuk mendapatkan khidmat pemain itu. Sesuatu yang sangat membazir masa.
Selain itu, kualiti permainan Endrick juga sejak kebelakangan ini sering menjadi pertikaian dalam kalangan penyokong.
Kemahiran individu dan hantarannya sering dikritik. Sebaliknya, Endrick hanya menyerlah ketika dia beraksi untuk Liga Premier sebelum ini.
Malah, ada yang menyifatkan bahawa kualiti pemain tempatan jauh lebih baik berbanding Endrick. Untuk Liga Premier, mungkin dia cemerlang.
Bagaimanapun di Liga Super, rasanya ada pemain lain yang lebih berkualiti dan menjadi sasaran JDT untuk musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram