Ada sebab Kobe Jae Chong tak perlu beraksi Liga-M


  • Podium
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Kobe Jae Chong (tengah) bersama kelab baharunya, AFC Telford United. — Twitter

BARU-BARU ini, nama pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Kobe Jae Chong yang sebelum ini dikatakan bakal bermain di Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya sah memilih untuk kekal bermain di England.

Jae Chong yang sebelum ini beraksi untuk pasukan Peterborough United memutuskan untuk beraksi bersama kelab AFC Telford United yang beraksi dalam National League North.

Disebabkan itu, kebanyakan peminat bola sepak tempatan berasakan Jae Chong patutnya bermain untuk Liga Super untuk memberikan saingan kepada pemain tempatan.

Namun, seorang warganet, Adam Sariman menyatakan bahawa apa yang dilakukan Jae Chong itu adalah tindakan tepat.

"Apa yang dilakukan Jae Chong sebenarnya bagus untuk untuknya mencipta namanya dalam liga Inggeris. Kenapa? Kerana Jae Chong sukar mendapat tempat ketika beraksi dalam kelab lamanya, Peterborough United.

"Jadi, kemasukannya ke AFC Telford United akan memberinya kelebihan untuk menunjukkan kemampuan sebenarnya," ciapnya di Twitter.

FXn4b_ZX0AAYT9z

Kobe Jae Chong (tengah) bersama kelab baharunya, AFC Telford. — Twitter

Menurutnya lagi, fasiliti yang dimiliki AFC Telford juga bukan calang-calang dan kelab itu begitu berminat untuk mengambil Jae Chong selepas pemain itu tampil dalam perlawanan percubaan.

Perkara itu jelas Adam, adalah bagus kerana kelab tersebut nampak potensi Jae Chong yang boleh digunakan untuk kelab mereka.

"Selain itu, sesiapa sahaja yang bermain dalam piramid liga Inggeris pasti akan diperhatikan scouts. Mereka ini sentiasa mencari pemain baharu yang berpotensi untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.

"Jae Chong antara yang mungkin akan diperhatikan scouts dan dia juga perlu gunakan peluang yang ada untuk menentukan perjalanannya dalam liga Inggeris," katanya.

Ujarnya, Junior Eldstal dan Darren Lok juga datang dari liga bawahan Inggeris dan berjaya menyinarkan diri mereka.

Cuma katanya, Jae Chong menggunakan kaedah yang berbeza dan mahu membuktikan kemampuan dirinya di England.

"Memang normal bila ada darah Malaysia bermain di luar negara dan menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

"Tetapi, adalah lebih baik kita jangan beri tekanan dan sentiasa memberi sokongan apatah lagi Jae Chong sudah menyatakan rasa terujanya untuk beraksi bersama skuad kebangsaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram