PERAK FC yang mendapat pemilik baharu, XOX Bhd tampak lebih bersemangat apabila menang 1-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN pada malam Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu merupakan kemenangan kedua bagi skuad The Bos Gaurus pada saingan Liga Premier 2022.
Gol kemenangan Perak FC dijaringkan oleh Kapten, Muhammad Firdaus Saiyyadi pada minit ke-63.
Kemenangan itu bagaimanapun tetap menyaksikan skuad The Bos Gaurus berada pada kedudukan tercorot Liga Premier hasil daripada pemotongan sembilan mata yang dikenakan pihak FIB Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebelum ini.
Bagaimanapun, kemenangan malam Rabu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah itu, berjaya memadamkan defisit pemotongan enam mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC II, 9 April lalu.
Meskipun ramai yang berbangga dengan kemenangan itu, Abam Braderr berpendapat, pemilik baharu perlu membawa masuk pemain yang lebih berkemahiran sekiranya mempunyai bajet kewangan pada masa akan datang.
Hal ini kerana peminat mahukan skuad tersebut menyertai perlawanan yang lebih besar setanding dengan pasukan-pasukan lain.
"Kalau setakat nak stay dekat Liga Perdana je boleh la guna player yang ada je," katanya menerusi komen di laman Facebook.
Tangkap layar komen peminat The Bos Gaurus di laman Facebook.
Turut berpendapat sama, Lelaki Suci menggesa XOX Bhd untuk mengeluarkan bajet kewangan lebih besar bagi mendapatkan pemain berkualiti untuk menggantikan pemain sedia ada.
"Lawan team 'budak' pun struggle aku tengok," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi mahu melihat sendiri perlawanan antara Perak FC dan Projek FAM-MSN pada malam Rabu.
Menurut Abdul Azim, kesempatan itu juga peluang beliau bertemu semua pemain Perak FC kerana setakat ini hanya bertemu ketua, penolong jurulatih dan dua pemain semasa menandatangani memorandum persetujuan dengan pemilik Perak FC pada 29 April lalu.
Menurut bos syarikat telekomunikasi itu, XOX berharap dapat menjelaskan semua tunggakan gaji agar Perak FC bebas daripada larangan dan embargo Fifa mengenai pendaftaran pemain baharu apabila jendela perpindahan kedua pada 28 Mei ini.
Berikutan embargo pendaftaran itu, Perak FC hanya boleh mendaftar 20 pemain musim ini sehinggalah tunggakan gaji pemain diselesaikan.
Pasukan itu juga tidak dibenarkan mendaftar pemain import baharu seperti pasukan lain.
Dalam perkembangan lain, perjanjian jual beli Perak FC akan dimuktamadkan Jumaat ini di Ipoh, Perak.
Abdul Azim berkata, majlis akan diadakan di satu lokasi yang akan diputuskan kemudian.
"Pihak media akan dipanggil ke majlis penjualan dan pembelian Perak FC itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram