Skuad Harimau Muda tak mahu tragedi 'pulang awal' berulang


  • Podium
  • Rabu, 04 Mei 2022

Skuad Harimau Muda nekad enggan pulang awal pada temasya Sukan SEA ke-31. — Bernama

PASUKAN bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan perlu menjadikan kegagalan edisi lepas sebagai pengajaran dalam usaha mencipta kejayaan membanggakan pada temasya Sukan SEA ke-31 bermula 12 hingga 23 Mei, di Hanoi, Vietnam.

Pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat yang merupakan sebahagian daripada skuad beraksi pada edisi 2019 di Filipina berkata bagi mengelakkan ‘mimpi ngeri’ tersingkir awal berulang, Malaysia tidak boleh sesekali memandang rendah kemampuan pihak lawan.

"Bagi saya kita tidak boleh ambil mudah cabaran mana-mana pihak lawan walaupun pasukan yang kita lawan itu tidak berapa bagus (pasukan kerdil), saya harap semua pemain berfikiran yang sama dan berikan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama adalah seorang lagi pemain tengah, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan yang menuntut rakan sepasukan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang saingan berlangsung.

"Kali ini kami kena ambil serius setiap perlawanan dan memberikan fokus yang lebih daripada sebelum ini, selebihnya kita semua perlu buat sehabis baik,” katanya yang turut berada dalam skuad edisi 2019.

Pada edisi 2019 di Filipina, Malaysia menamatkan saingan kumpulan pada kedudukan kedua tercorot sekali gus gagal mara ke peringkat kalah mati selepas cemerlang memenangi pingat perak pada 2017 di Kuala Lumpur.

Bagi edisi di Hanoi, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan acara bola sepak dengan menentang juara terbanyak Sukan SEA, Thailand di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Sabtu ini.

"Pasukan Thailand bukan lawan yang mudah, insya-Allah kami akan gunakan semua pengalaman yang ada untuk berdepan mereka,” kata Nik Akif.

Skuad kendalian ketua jurulatih Brad Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja pada 16 Mei bagi memburu dua slot teratas kumpulan untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Semua baki perlawanan Kumpulan B juga akan berlangsung di Stadium Thien Truong.

Sebelum ini, Maloney memaklumkan tiada sasaran spesifik diletakkan pada pasukannya di Hanoi, namun memberi jaminan akan membentuk skuad terbaik yang berupaya memberi tentangan sengit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram