'Tak setara mana, Sri Pahang wajib buru pengganti Zatara'


  • Podium
  • Isnin, 09 Mei 2022

Pemain Sri Pahang dan KL City FC merebut bola ketika perlawanan Liga Super pada Sabtu. — Bernama

PRESTASI yang dipamerkan salah satu gergasi Liga Super, Sri Pahang pada musim ini dilihat agak terumbang-ambing.

Walaupun menunjukkan permainan cantik di bawah pengendali baharu, Christophe Gamel, Sri Pahang masih belum mampu menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Ketumpulan barisan serangan terutamanya menjadi kerisauan buat para penyokong Sri Pahang, yang menjaringkan lapan gol daripada enam perlawanan.

Ramai yang berpendapat bahawa penyerang yang dibawa masuk awal musim ini, Mahmoud Zatara gagal mempamerkan aksi yang baik untuk membantu pasukan itu mencari gol, dan terpaksa berharap kepada pemain-pemain di posisi lain untuk memecah kubu lawan.

Selepas beraksi dalam lima perlawanan liga, penyerang yang berasal daripada Jordan itu hanya mampu mencetak satu gol buat skuad Tok Gajah.

Sebilangan penyokong berpendapat bahawa pengurusan harus membawa masuk penyerang baharu apabila jendela perpindahan kedua dibuka bulan ini supaya kelab itu mampu bersaing di posisi atas liga.

"Jendela perpindahan tak lama lagi Sri Pahang kena segera cari striker import yang berbisa untuk menggantikan Zatara. Jelas dalam game sebentar tadi (Sabtu) memperlihatkan ketiadaan striker import berbisa agak sukar menembusi benteng KL City.

"Gol harapkan free kick Azam Azih dan jaringan Manuel Hidalgo. Untuk masuk menembusi benteng pertahanan lawan juga harapkan Hidalgo," kata Muhd Makri Muhammad Yusof.

"Alhamdulillah kemenangan buat pasukan kesayangan, cuma bahagian serangan tu kurang... harap transfer window nanti carilah satu striker yang boleh buat gol... permainan memang cantik dah," kata Naim Mohmed.

"Pure striker saja tiada... takkan nak harapkan Hidalgo dan Azam... letih nak cover banyak position," ujar Momad Rowdie.

Pada perlawanan Liga Super Sabtu lalu, Sri Pahang berjaya menewaskan KL City FC 2-1 hasil jaringan Azam Azih dan Manuel Hidalgo.

Sri Pahang kini menghuni tangga keenam liga dengan tujuh mata selepas enam perlawan, hasil daripada dua kemenangan dan satu seri.

Pada 11 Mei, Sri Pahang bakal menanti kunjungan Sarawak United di Stadium Darul makmur dalam aksi Liga Super yang dijadualkan pukul 8.15 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram