DENGAN kekalahan 2-3 yang menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika menerima kunjungan Melaka United pada Jumaat lalu membuatkan para penyokong masih mempersoalkan fungsi pemain import Sang Kenari, Ronald Ngah Wanja.
Meskipun pemain yang mesra disapa Pak Ngah itu berjaya menyumbangkan satu gol pada perlawanan berkenaan namun masih sahaja penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi yang diberikannya sebagai penyerang utama KDA FC.
Besar harapan penyokong skuad Hijau Kuning terhadap pemain berasal dari Cameroon itu kerana reputasinya selaku penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan 15 gol daripada 20 penampilan bersama Al Salt SC.
Bagi pemilik akaun, Bvrd Ortega situasi Pak Ngah itu pernah terjadi kepada bekas tonggak Sang Kenari, Carlos Kahe yang beraksi bersama KDA FC selama satu musim iaitu pada 2016.
Carlos Kahe (tengah) bersama Kedah selama setahun bagi memantapkan jentera serangan pasukan itu pada Liga Malaysia 2016.
"Bola susah nak sampai dekat striker jadi dia kena turun ke bawah untuk kutip bola. Pemain macam ini berat sebab badan besar jadi tiap kali buat lay-off dia akan lambat sampai semula dalam kotak penalti untuk terima bola.
"Masa Kahe dulu tidak jadi masalah sangat sebab belakang dia ada Sandro jadi kalau Kahe tidak sampai dalam kotak pun Sandro dah pasti ada di situ. Sebab itulah Sandro banyak catat gol masa itu," katanya.
Ketika Kahe bermain untuk KDA FC, dia turut dikecam oleh penyokong kerana mereka beranggapan seharusnya penyerang yang banyak menjaringkan gol namun keadaan sebaliknya berlaku.
Pemilik akaun itu mengutarakan, situasi agak berbeza dengan Kahe kerana Ronald Ngah kini terbeban untuk hasilkan jaringan kerana kelihatan seakan tiada pemain lain yang dapat membantu secara konsisten.
"Situasi Ronald Ngah pulak jadi makin rumit sebab beban nak hasilkan gol tu terletak dekat bahu dia. Selain dia, cuma Syafiq Ahmad saja yang mampu nak hasilkan jaringan. Tapi tak dapat konsisten macam Sandro.
"Dan masa Kahe tu dulu pun fluidity permainan pun tak terganggu sebab kita Liridon Krasniqi. Kini, kita tiada pemain yang mampu nak galas tugasan dekat posisi tu. Backfour Kedah masa itu pun tak kukuh sangat tapi tak lah teruk sangat sebab masih ada defensive midfielders yang mampu nak shield backfour," ujarnya.
Baginya KDA FC masih berpeluang memperbaiki prestasi mereka jika corak permainan seperti posisi tengah diubah agar pemain yang bermain posisi lain boleh beraksi dengan lebih baik.
Dalam perlawanan menentang Melaka United pada Jumaat, KDA FC dua kali mendahului perlawanan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad dan Ronald Ngah tetapi tewas menerusi jaringan minit akhir pasukan pelawat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram