JARINGAN saat akhir pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, memastikan Malaysia membuka kempen saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dengan bergaya selepas menewaskan Thailand 2-1, pada perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Thien Truong di Vietnam pada Sabtu malam.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia berjaya melunaskan dendam kekalahan di pentas final edisi 2017 di Kuala Lumpur, yang juga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di temasya sukan dwitahunan itu.
Beraksi di hadapan hampir 30 ribu penonton, Thailand di bawah bimbingan Alexandre Polking menguasai perlawanan di separuh masa pertama dengan corak permaian agresif dan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan menerusi percubaan Ekanit Panya pada minit ke-10.
Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Azri Ab Ghani bertindak cemerlang menerbangkan badan untuk menampan bola rembatan Panya itu, sebelum Thailand sekali lagi mengancam kubu pertahanan negara hasil sepakan percuma Chayapipat Supanpasuch yang sedikit tersasar pada minit ke-19.
Malaysia yang sesekali melakukan serangan balas, mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-25, namun percubaan Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal tinggi melewati palang gol.
Pasukan negara terpaksa melakukan pertukaran awal di posisi pertahanan kiri pada minit ke-29 dengan Muhammad Safwan Mazlan menggantikan Muhammad Hairiey Hakim Mamat yang cedera sebelum Thailand memanfaatkan perubahan itu untuk meledak gol pembukaan empat minit kemudian.
Jaringan Thailand itu menerusi penyudah penyerang Patrik Gustavsson selepas memanfaatkan kekalutan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan leret yang gagal diselamatkan Muhammad Azri.
Bagaimanapun, menghampiri separuh masa, Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas menjatuhkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, situasi berubah 180 darjah apabila skuad kebangsaan kendalian Brad Maloney lebih banyak menguasai permainan selain berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya.
Jaringan penyamaan dicari-cari akhirnya tiba pada minit ke-61 menerusi penyerang Ahmad Danial Ahmad Asri yang berada di kedudukan tepat untuk menampan hantaran lintang kapten Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.
Jaringan itu nyata membakar semangat anak buah Maloney untuk terus mengasak benteng pertahanan Thailand yang semakin goyah dengan pemain gantian Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak terlepas peluang meletakkan Malaysia di depan selepas tandukannya pada minit ke-82 gagal menepati sasaran.
Akhirnya, malam gemilang pasukan negara tiba pada masa tambahan babak kedua selepas Muhammad Nur Azfar muncul wira negara apabila meledak gol kemenangan sekali gus memberikan permulaan sempurna buat Malaysia.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Maloney merasakan anak-anak buahnya berhak menang malam ini selepas mempamerkan keberanian mereka ketika berhadapan dengan salah sebuah pasukan terbaik di rantau ini.
"Saya sudah katakan kepada anak-anak buah saya supaya tidak gentar untuk berhadapan sesiapa sahaja dan kami menghormati Thailand, gergasi Asia Tenggara tetapi kami bermain tanpa rasa takut, pemain-pemain ini tidak goyah berhadapan sesiapa sahaja di hadapan mereka dan mereka bermain sepenuh hati untuk selama 98 minit dan mencapai matlamat,” kata Maloney.
Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B mengumpul tiga mata sementara Laos dan Singapura yang terikat 2-2 dalam satu lagi aksi masing-masing di tempat kedua dan ketiga manakala Kemboja (keempat) dan Thailand tercorot.
Selepas ini, Malaysia akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram