JURULATIH skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang akan membawa cabaran di temasya Sukan SEA 2021.
Maloney sebelum ini membawa 24 pemain ke Vietnam tetapi terpaksa mengetepikan empat pemain kerana peraturan pertandingan hanya membenarkan 20 pemain untuk didaftarkan.
Empat pemain yang disisihkan adalah penjaga gol skuad Liga Super Terengganu, Rahadiazli Rahalim; pemain Selangor II, Fahmi Daniel Mohd Zaaim dan dua pemain JDT II iaitu Umar Hakeem Suhar Rezwan serta Shafi Azswad Sapari.
Menurut Maloney, beliau menyifatkan keputusan untuk memilih senarai akhir 20 pemain ini cukup sukar buat dirinya kerana beliau berpuas hati dengan setiap komitmen diberikan barisan pemain sepanjang menyertai kem latihan pusat pasukan B-23 kebangsaan ini.
“Satu keputusan yang sukar kerana kesemua pemain telah memberikan komitmen tinggi sepanjang kami bersama dalam sesi latihan dan saya cukup berpuas hati kerana kesemua pemain memberikan kerjasama yang cukup baik.
“Ia bukan mudah untuk saya tetapi saya harus membuat keputusan kerana peraturan hanya membenarkan 20 pemain sahaja didaftarkan,” kata Maloney.
Empat pemain tersebut bagaimanapun akan terus kekal berada di Vietnam sebagai senarai bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif Covid-19 di sepanjang saingan Sukan SEA 2021 berlangsung.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan Thailand pada Sabtu, 7 Mei; disusuli Laos pada Rabu, 11 Mei; Singapura pada Sabtu, 14 Mei; dan Kemboja pada Isnin, 16 Mei.
Kesemua perlawanan peringkat kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
Sebagai rekod, Malaysia bertandang ke edisi kali ini tanpa sebarang sasaran spesifik namun misi utama adalah mahu mengelakkan tersingkir awal di peringkat kumpulan sepertimana tiga tahun lalu. — Labola
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram