Perlawanan sulung penentu nasib Harimau Muda di Hanoi


  • Podium
  • Sabtu, 07 Mei 2022

Barisan pemain yang akan beraksi untuk Harimau Muda di Sukan Sea Hanoi, Vietnam.

KEUPAYAAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk memenangi ibu segala pingat di temasya Sukan Sea Hanoi 2021 kini hangat dibincangkan peminat bola sepak negara selepas menampilkan aksi yang kurang memberangsangkan pada Kejuaraan B-23 AFF 2020 di Kemboja, Februari lalu.

Malah bukan itu sahaja, terdapat segelintir peminat sukan nombor satu negara tersebut beranggapan buah Brad Maloney berkemungkinan mengulangi skrip edisi Filipina 2019 selepas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan.

Bukan mahu menidakkan keupayaan yang dimiliki skuad B-23, namun itulah realiti yang harus diterima Maloney jika prestasi di Kejuaraan AFF B-23 lalu dijadikan ukuran pada edisi Sukan Sea kali ini.

Ditambah persiapan pasukan agak lewat berikutan keengganan segelintir kelab Liga Malaysia (Liga-M) melepaskan para pemain, selain tidak memanfaatkan jendela persahabatan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa) Mac lalu, mungkin menjejaskan pembentukan skuad lebih kompetitif.

Malah boleh dikatakan pencabar utama kumpulan B seperti Thailand dan Singapura agak gembira mendengar perkembangan itu ketika ini kerana ia akan menjadi kelebihan buat mereka memandangkan kedua-dua pasukan tersebut giat melakukan persiapan rapi bagi temasya berkenaan.

Berdasarkan rekod beberapa perlawanan sebelum ini, Harimau Muda tidak mempunyai rekod baik ketika menentang Thailand dan Singapura termasuk Kemboja yang menjadi duri dalam daging buat skuad muda negara untuk layak ke pusingan separuh akhir kejuaraan AFF B-23 lalu.

Dengan kekalahan mengejut 2-1 kepada Timor Leste dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Shah Alam, Selangor baru-baru ini ia sudah tentu merupakan satu tamparan hebat kepada Harimau Muda

Bayangkan, pasukan kerdil seperti Timor Leste tidak mampu untuk kita tewaskan inikan pula untuk melawan Thailand, dan Singapura dalam peringkat kumpulan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram