Angan-angan angkara gambar raya tapi Kelantan tak mampu bayar Arif Aiman


Terdapat penyokong yang menyimpan angan-angan untuk melihat aksi Arif Aiman bersama KUFC.

SEJAK kebelakangan ini nama pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi meniti di bibir peminat selepas mempamerkan aksi membanggakan hingga membantu pasukannya layak ke peringkat kalah mati Juara-Juara ACL.

Baru-baru ini juga, Arif Aiman memuat naik sekeping gambar di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia meluangkan masa menyambut Aidilfitri di Kelantan.

Bermula daripada gambar itu, barulah diketahui yang pemain tengah JDT itu mempunyai darah keturunan negeri Che Siti Wan Kembang dan penyokong Kelantan FC pun mula memasang angan-angan jika pemain itu berminat untuk beraksi bagi pasukan mereka.

WhatsApp Image 2022-05-05 at 5.29.36 PM

Gambar yang dimuat naik Arif Aiman di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia beraya di Kelantan.

Namun bagi seorang penyokong KUFC, Encik Kimm Joo Din berkata, penyokong sepatutnya berfikir realistik jika mahu Arif Aiman beraksi untuk pasukan mereka.

Malah, dia turut menyarankan supaya KUFC mencari dan mengasah sendiri bakat muda di Kelantan daripada mengambil pemain yang sudah bersama dengan pasukan yang cukup terkenal.

"Gaji dia di JDT pun mahal dah. Nak tawar berapa untuk beli dia? Lebih baik cari ubi muda sendiri.

"Ramai anak Kelantan yang bagus-bagus. Ejen scouting kena buat kerja la turun di setiap daerah untuk cari pemain muda. Ramai yang berbakat cuma kena rajin cari," katanya.

0F90893E-6BBA-41AD-A9C8-30FF780E59B0

Aksi Arif Aiman bersama JDT mendapat pujian penyokong bola sepak tempatan.

Perkara sama turut dinyatakan Sam Mood yang menganggap pemain berasal dari Kelantan banyak yang berbakat tetapi terpaksa mencari pengalaman di luar.

"Pemain dari Kelantan ramai yang berbakat tapi kena berkelana cari pengalaman dengan pasukan lain dahulu. Jarang sangat yang terus naik dengan pasukan Kelantan," katanya.

Beberapa penyokong lain turut menyokong Arif Aiman beraksi bersama JDT untuk menimba lebih pengalaman apatah lagi usianya masih muda.

"Biar la dia main dengan JDT. Banyak kemudahan dan latihan yang lebih bagus. Gaji pun besar," kata Fakhrul Anuar Ahamad.

"Muda lagi, biar dulu dia ambil pengalaman yang banyak dengan kelab terbaik di Malaysia," kata Hafiz Rozman.

Untuk rekod, Arif Aiman dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama JDT menerusi saingan kalah mati ACL 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram