Rebah ketika rakaat ke-20, warga emas meninggal semasa tarawih di Baling


  • Massa
  • Ahad, 24 Apr 2022

Zamri meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, Baling pada Sabtu. — Sinar Harian

SEORANG jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai di Baling, Kedah pada Sabtu.

Zamri Saad, 51, dari Lorong Sungai Tas, Kampung Lana rebah ketika solat tarawih sebelum disahkan meninggal dunia di masjid itu.

Isterinya, Rohani Mohd Noor, 51, berkata, dia hanya mengetahui bahawa suaminya rebah secara tiba-tiba selepas dimaklumkan abang iparnya.

"Kira-kira pada jam 10 malam, abang suami saya datang beritahu suami telah jatuh dan pengsan ketika solat.

"Saya terus mengajak anak kedua, Nazirol, 20, ke masjid itu dan dia masuk dahulu ke dalam masjid sebelum keluar semula dengan memberitahu bapanya sudah tiada," katanya.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali anak-anak mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.

Katanya, dia tidak menyangka suaminya meninggal dunia ketika sedang solat tarawih di Masjid Tunku Intan Safinaz.

"Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami saya tergerak hati berbuka puasa di masjid. Tidak sangka arwah akan dijemput Ilahi ketika sedang solat tarawih di masjid itu.

"Sebelum itu, suami ada mengajak saya untuk solat tarawih di masjid itu, namun saya menolak kerana mahu solat di surau berhampiran rumah kami," katanya.

Ketika diminta berkongsi amalan suaminya, Rohani memberitahu, arwah sentiasa bangun malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehingga waktu bersahur sepanjang Ramadan setiap tahun.

"Suami dulu bekerja sebagai pemandu lori tetapi sudah tidak bekerja kerana bimbang tahap kesihatan memandangkan pernah dimasukkan ke Hospital Taiping, Perak akibat penyakit jantung tiga tahun lepas.

Dia berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun reda dengan pemergian arwah.

"Anak-anak telah membeli baju raya warna sedondon untuk menyambut Hari Raya, namun arwah sudah pergi dahulu, " katanya.

Penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata, arwah Zamri rebah ketika sedang solat pada rakaat ke-20 sebelum disahkan meninggal dunia di masjid itu.

Hashim berkata, arwah memberitahu dia tidak boleh makan kurma kambing ketika mereka berbuka puasa, namun ada meminta kebenaran untuk membawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anaknya.

Menurutnya, arwah juga ada mengadu sakit dada pada jemaah lain pada sebelah petang sebelum kejadian.

"Ketika solat, arwah tiba-tiba rebah dan kami terdengar bunyi dengkuran yang agak kuat.

"Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, hasil dapatan daripada waris, mangsa meninggal dunia lebih kurang jam 10.10 malam semasa selesai memberi salam pada rakaat ke-20 solat tarawih ketika berada di saf hadapan dan kedudukan berada di belakang Imam.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Parit Panjang di sini (Baling)," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram