PENANG FC terus buntu mencari kemenangan pertama Liga Super musim 2022 apabila tunduk 1-3 kepada Sri Pahang FC yang meraih tiga mata penuh pertama.
Seawal permainan bermula, Penang FC dilihat lebih agresif menyerang berbanding pasukan tuan rumah yang beraksi secara bertahan dan sesekali melakukan serangan balas sebelum berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang Muhamad Nor Azam Abdul Azih dari luar kotak penalti.
Penang FC bangkit mengikat keputusan 1-1 selepas Sukri Abd Hamid meledak jaringan pada minit ke-46 yang gagal diselamatkan penjaga gol skuad Tok Gajah Mamadou Samassa, namun kedudukan itu tidak bertahan lama.
Sri Pahang FC kembali mendahului permainan pada minit ke-64 hasil jaringan David Rowley yang menanduk masuk hantaran Baqiuddin Shamsudin sebelum Sean Gianelli menambah derita penang FC menerusi gol ketiga dihasilkannya pada minit ke-73.
Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang FC kini mengumpul empat mata di kedudukan kesembilan liga selepas mencatat dua kekalahan dan satu keputusan seri pada aksi terdahulu.
Namun pengendali Penang FC Tomas Trucha mengakui kurang berpuas hati dengan jaringan kedua tuan rumah yang disahkan oleh pengadil dan pada masa sama akan melakukan postmortem bagi mengenal pasti kelemahan pasukannya yang kini berada dalam zon penyingkiran.
"Sesuatu perlu dilakukan setelah tewas pada malam ini kepada Sri Pahang, mungkin dengan mengubah formasi pasukan atau menggantikan pemain utama bagi perlawanan akan datang.
"Kami tidak boleh membuang mata lagi dan sebagai jurulatih saya perlu memikirkan cara untuk menang bagi memastikan penang FC kekal kompetitif dalam saingan Liga," katanya.
Detik kontroversi jangan kedua Sri Pahang ketika Khatul jatuh dalam keadaan bahaya.
Kontroversi gol kedua Sri Pahang FC itu juga menjadi bualan penyokong yang terus mempertikai kualiti pengadilan Liga Malaysia.
Difahamkan penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar kini dalam keadaan baik dan masing menunggu panggilan untuk imbasan CT.
Khatul mengalami detik-detik cemas apabila bertembung dengan pemain Sri Pahang, keadaan yang sama seperti dialami penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Namun bezanya, pengadil perlawanan tidak menghentikan perlawanan walaupun melihat keadaan Khatul yang jatuh dalam keadaan berbahaya.
Sebaliknya, pengadil membenarkan jaringan Rowley walaupun Khatul sudah terbaring kesakitan.
Mutu pengadilan bukan pertama kali dibincangkan pada musim ini, dan Sri Pahang antara kelab paling teruk menjadi 'mangsa' pengadil.
Kelab Pantai Timur itu menyaksikan dua gol mereka dalam dua perlawanan pada awal musim dibatalkan disebabkan keputusan tidak tepat pengadil.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengakui kesalahan pegawai perlawanan ketika mengadili aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan PJ City FC, dan Sri Pahang menentang Kedah Darul Aman FC.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, pengadil telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila membenarkan jaringan PJ City FC.
Menurut Abang Zulkarnain, perkara tersebut disahkan selepas analisis menerusi rakaman video dibuat ketika Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil pada Isnin.
Justeru, beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengadil berkenaan.
Sebelum ini, FAM turut memaklumkan akan mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai perlawanan yang bertugas dalam aksi Liga Super membabitkan KDA FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu lalu.
Ia selepas laporan Penilai Pengadil mendapati, terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan Sri Pahang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram