Hampir lima jam beri keterangan, Aliff Syukri mohon maaf, rayu jangan libatkan keluarga


  • Primer
  • Selasa, 26 Apr 2022

Aliff Syukri ditemui pemberita selepas hampir lima jam meluangkan masa untuk memberi keterangan dan merakamkan percakapan di ibu pejabat MCMC. — Sinar Harian

USAHAWAN terkemuka, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman meminta maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan video muzik kontroversi, Kelepok Raya.

Aliff turut memohon kepada orang ramai supaya tidak melibatkan ahli keluarganya dan menyerahkan tindakan lanjut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan tingkah laku saya, saya nak minta maaf banyak-banyak.

“Mohoh jangan libatkan keluarga saya, ibu saya yang sedang menjalankan ibadah umrah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas diambil keterangan oleh pegawai SKMM hampir lima jam.

Aliff hadir ke ibu pejabat SKMM Cyberjaya pada jam 9.58 pagi Selasa bagi memberi keterangan berhubung video muzik Hari Raya Aidilfitri itu dengan memakai kot kelabu dan seluar hitam.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau ada mempertimbangkan kesan daripada klip video ini, Aliff enggan mengulas lanjut.

“Biarlah SKMM yang jalankan siasatan, jangan salahkan isteri saya, ibu saya. Bagi saya biarlah SKMM siasat dan saya sudah berikan kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, individu terlibat di dalam video muzik berkenaan sudah diberi notis untuk hadir ke SKMM.

Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dibuka.

Sebelum ini, video muzik yang dikeluarkan sempena Hari raya Aidilfitri itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak berikutan memaparkan penari lelaki yang berperwatakan wanita. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram