Video Aliff Syukri beri kesan buruk kepada remaja — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 25 Apr 2022

Tangkap layar video klip Aliff yang menjadi polemik orang ramai. — Facebook

VIDEO klip lagu terbaharu usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang berjudul Kelepok Raya menjadi perhatian umum ketika ini.

Pelbagai pihak menyifatkan adegan tarian dalam video klip itu dirasakan tidak menepati tema lagu berkenaan yang menceritakan tentang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Rafidah Hanim Mokhtar, tindakan Aliff itu akan memberi kesan buruk khususnya kepada golongan remaja.

"Paparan media memberi kesan kepada remaja. Ia sebahagian dari 'nurturing factor' atau faktor mempengaruhi.

"Satu kajian melaporkan bahawa peningkatan kes rujukan kanak-kanak dengan kecelaruan jantina (gender disforia) adalah berkadar terus dengan meningkatnya paparan media berhubung transgender.

"Kajian ini melibatkan seramai 5,000 remaja transgender yang dirujuk ke klinik transgender di Australia dan United Kingdom (UK) dalam tempoh lapan tahun," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Remaja cenderung untuk mengikuti apa sahaja yang mereka tonton di media elektronik. — Gambar hiasan/Facebook

Tambahnya, ibu bapa di negara Barat melahirkan kebimbangan tentang peningkatan gender disforia dalam kalangan remaja.

"Kebimbangan itu berlaku kerana kinik-klinik berkenaan berorientasikan kapitalisme dan dengan segera memberi preskripsi hormon pencegah baligh serta sesetengahnya mengesyorkan pembedahan pertukaran jantina kepada mereka yang berusia 15 hingga 16 tahun.

"Ada dalam kalangan ahli psikologi mula melahirkan kebimbangan kerana kes-kes gender disforia di kalangan remaja yang mereka lihat biasanya jarang-jarang sekali, kini melibatkan ramai; sekumpulan rakan-rakan sekelas.

"Mereka menyifatkan trend ini sebagai gerakan sosial (social movement) dan bukannya diagnosis sebenar," ujarnya lagi.

Tambahnya, inilah masa untuk kerajaan mengorak langkah lebih tegas memantapkan polisi memelihara nilai kekeluargaan yang baik.

"Undang-undang sedia ada adalah ke atas perlakuan songsang, namun kita perlu melaksanakan undang-undang ke atas sebarang paparan media yang boleh ditafsirkan sebagai mempromosi gaya hidup orientasi seks songsang dan transgender/gender ketiga.

"Namun video-video Aliff Syukri buat masa ini sepatutnya boleh dikategorikan sebagai kandungan yang jelik dan lucah di Internet di bawah Akta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Akta ini memperuntukkan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram